Nombor Siri Satu Ringgit: Didikan Ayah yang Melekat di Hati

Catatan Kenangan: Duit, Nombor Siri, dan Didikan Seorang Ayah

Che kak masih ingat, waktu darjah satu, sekitar awal tahun 80-an. Seorang budak perempuan kecil, bertocang dua, bawa bekal nasi goreng dalam bekas plastik ke sekolah. Bawa duit 20 sen, tapi jarang dibelanjakan. Kalau sesekali dapat bawa 50 sen terasa seperti anak orang kaya. Itu pun cukup buat che kak senyum sepanjang hari.

Tapi apa yang paling che kak ingat bukanlah harga makanan atau jajan di kantin sekolah. Che kak teringat cerita ayah tentang duit dan nombor siri.

Ayah pernah berpesan:

"Kalau duit ayah hilang, ayah tahu hilang kat mana. Kalau beli guna duit ayah tanpa izin, ayah tahu juga duit tu ada kat kedai mana."


Che kak tak faham. Che kak cuma budak kecil. Tapi che kak takut. Takut macam takut nak langgar peraturan tak tertulis. Takut ayah tahu. Takut ayah marah. Walaupun waktu tu che kak tak tahu pun macam mana ayah boleh tahu.

Ayah tunjuk nombor siri pada duit kertas. Katanya, ayah ingat semua nombor siri duit dia. Ayah kata dia hafal satu-satu.

Waktu tu, otak kecil che kak tak mampu nak hadam logik di sebalik kata-kata tu. Tapi mesejnya masuk terus ke hati dan duduk di situ sampai hari ini.


Setiap hari Jumaat, van Bank Simpanan Nasional datang ke sekolah. Che kak simpan RM1.00 setiap minggu. Dari kecil, che kak diajar menyimpan. Tapi lebih dari itu, che kak belajar satu nilai besar amanah.

Che kak membesar dengan satu pegangan hidup:
Jangan sesekali ambil duit tanpa izin. Jangan sentuh hak orang lain.

Walaupun che kak tahu, secara logiknya, tak mungkin ma atau ayah hafal nombor siri setiap duit kertas. Tapi che kak faham maksud yang tersirat. Bukan tentang hafalan, tapi tentang sempadan. Tentang batas. Tentang menghormati hak.

Kini bila che kak lihat anak-anak kecil  yang mungkin tanpa sedar ambil duit dari dompet ayah, atau kutip syiling yang bukan milik mereka  che kak teringat pada diri che kak dahulu.

Jangan cepat menghukum.
Kerana mungkin mereka belum tahu itu satu kesalahan.
Kerana mungkin mereka hanya meniru bukan mencuri.

Jika kita terus menghukum tanpa mendidik, mereka mungkin membesar dengan luka. Dan lebih menakutkan, membesar dengan hati yang terbiasa mengambil tanpa rasa bersalah.

Pencuri sebenar bukan yang lapar  tapi yang tamak.

Semoga Allah pelihara che kak, dan sesiapa yang membaca catatan ini, supaya terus berpegang pada amanah. Sampai bila-bila.

Comments