Nikmat Mana Lagi yang Perlu Che Kak Dustakan?
Rezeki Allah memang luar biasa. Tak terduga, tak terjangka. Langsung tak termimpi pun untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dalam waktu terdekat apatah lagi dalam bulan Ramadan. Tapi, inilah realiti yang berlaku. Mimpi yang percuma akhirnya Allah bayarkan.
Che Kak rasa syukur yang teramat sangat. Tak tergambar rasa gembira dan terharu bila dapat tahu akan menunaikan umrah tumpang rezeki asnaf terpilih dari kalangan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan warga emas Rumah Seri Kenangan JKM.
Syarikat ANDALUSIA Travel & Tours telah menaja pakej umrah Ramadan kepada 136 penerima bantuan JKM, termasuk sukarelawan, petugas dan pengiring — termasuklah Che Kak.
Program bertajuk “Rangkulan Kasih Umrah Ramadan 1439H” ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan (MOTAC) dan JKM. Dari negeri Kelantan sahaja, seramai 13 orang asnaf terpilih. Che Kak pula dipilih sebagai sukarelawan pengiring.
Momen Dapat Berita
Waktu dapat berita gembira ini, Che Kak tengah tunggu keputusan Pilihan Raya Umum pada 9 Mei 2018. Allahu... masa tu rasa nak melompat! Tak tahu nak gambarkan perasaan. Syukur, gembira, terharu, semua bercampur-baur.
Episod Kejar Masa Bermula
Bermulalah episod berkejaran dengan masa – nak siapkan dokumen, pasport, surat kebenaran, suntikan dan macam-macam urusan rasmi. Semuanya perlu siap dalam masa 1 hari! Tapi Allah mudahkan.
Kos-kos yang terlibat waktu itu:
- Pasport: RM200.00
- Salinan sijil nikah disahkan: RM10.00
- Suntikan MERS-CoV di Klinik Perdana: RM130.00
- Cop pesuruhjaya sumpah (surat mahram): RM10.00
- Gambar visa umrah: RM15.00
Urusan dokumen jabatan:
- Borang kebenaran ke luar negara
- Cuti umrah
- Cuti rehat
- Kebenaran menerima hadiah
- Insurans luar negara
Walaupun semuanya ini rezeki dari Allah, Che Kak tetap sangat berterima kasih pada suami yang memberi izin, dan juga kepada majikan serta pihak atasan — terutama Puan Roshayati, Tuan Pengarah, dan boss Che Kak sendiri yang memberi peluang dan sokongan.
Rezeki Pakcik Ismail
Sebelum berangkat, wakil dari Andalusia dan MOTAC datang menyerahkan surat tawaran kepada penerima di kawasan masing-masing. Dari Pasir Puteh, rezeki jatuh kepada Pakcik Ismail bin Deraman – penerima bantuan JKM yang layak. Che Kak memang setuju, beliau sangat memenuhi kriteria asnaf yang Andalusia cari.
Cukup sampai sini dulu, ini baru Siri 1. Banyak lagi nak Che Kak kongsikan — bukan niat untuk menunjuk, tapi sekadar catatan kenangan dan bukti betapa hebatnya aturan Allah. Nantikan sambungan Siri 2.
Comments
Post a Comment