Bila Kebaikan Dibayar Dengan Ujub

Jangan Merasa Diri Paling Suci

Kadang-kadang dalam usaha kita membantu orang susah, kita lupa satu perkara paling penting — niat.

Kita ke hulu ke hilir mencari mereka yang memerlukan. Kita hulurkan bantuan, sekampit beras, sedikit wang, atau mungkin sekadar kata semangat. Kita korbankan masa, tenaga, dan wang ringgit. Poket sendiri pun makin menipis.

Dan akhirnya kita rasa...
"Akulah pejuang rakyat sebenar."
"Akulah yang paling banyak berbuat untuk orang susah."
"Akulah yang paling layak bercakap tentang nasib marhaen."

Hati-hati. Di sinilah syaitan menyelit.

Bila kita mula merasakan hanya kita yang berbuat baik, hanya kita yang ikhlas, hanya kita yang bersusah payah — itu tandanya riak sedang mula bersarang. Tanpa sedar, kita mula pandang rendah pada usaha orang lain. Kita mula menyebar sangka buruk. Kita mula mencetus fitnah.

Fitnah itu lebih bahaya dari COVID-19.
Ia menjangkiti hati, merebak dalam komuniti, dan sukar disembuhkan walau oleh masa.
Amal yang ikhlas boleh gugur nilainya jika disulami perasaan ujub, riak dan takbur.



Ingatlah...
Tidak semua yang memberi perlu bercerita.
Tidak semua yang menolong perlu menunjuk.
Ramai yang bekerja dalam diam, membantu dalam senyap, dan menangis dalam doa.

Kita bukan Tuhan untuk menilai keikhlasan sesiapa.
Jangan merasa diri paling suci hanya kerana kita paling lantang.
Jangan merasa diri paling berjasa hanya kerana kita paling terlihat.
Dan jangan sekali-kali menabur fitnah atas rasa tidak puas hati yang bersalut ego.

Perang melawan COVID-19 mungkin hampir selesai.
Tetapi perang melawan perasaan hasad, riak, dan fitnah — belum tentu akan berakhir… sehingga tiba Hari Perhitungan.

Comments