"Budak straight A kena jadi doktor atau jurutera. Kalau ambil bidang tak glemer, rugi masa depan."
Kenyataan sebegini masih berlegar-legar dalam minda ramai dari makcik-makcik bawang. Mungkin niatnya baik, tapi realitinya... tidak semua pelajar dibentuk dari acuan yang sama.
Che kak bukan budak straight A. Tapi che kak pernah rasa manisnya ‘berbunga hati’ lepas tengok result SPM Pangkat 1, Aggregate 8. Masa tu tahun 1997. Dapat pula A1 dalam Pendidikan Quran Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiyah dan Bahasa Arab Tinggi. Hati terus pasang cita-cita nak sambung belajar di Nilam Puri. Kalau tak Jordan, KUSZA pun jadilah.
Tapi langit tak selalunya cerah. Semua pilihan dalam borang UPU tak dapat satu pun. 😅
Kejar Impian: Asalkan Jadi ‘Student U’
Walaupun kecewa, che kak tetap tak nak duduk diam. Tak mahu ambil STU (sekarang STAM), dan bila dapat tahu ada tempat di UPM untuk Diploma Pembangunan Manusia che kak terus terima. Walaupun masa tu, tak faham pun apa benda "nak bangunkan manusia" ni 😅. Janji jadi student universiti, itu saja yang penting!
Bayangkan, dari Sibu Sarawak naik kapal terbang dengan ayah, tumpang tidur di quarters kawan ayah sebelum daftar masuk ke UPM. Duit belanja pun hasil sumbangan Yayasan Sarawak RM500, cukup untuk tiket dan sedikit perbelanjaan.
Realiti Kampus: Pointer 1.7 & Tekanan
Semester pertama? Pointer hanya 1.7.
Subjek macam sains tulen, rasa sangat berat untuk hadam. Che kak tak mampu. Tapi tetap bertahan. Dalam malas dan tercungap-cungap selama 2 tahun setengah, akhirnya tamat juga diploma.
Cita-cita nak jadi Kapten KAGAT, terkubur begitu saja.
Tapi tak mengapa. Sebab dari situ, che kak mula belajar:
Rezeki Allah bukan datang hanya ikut laluan ‘cita-cita zaman sekolah’. Kadang-kadang, ia datang ikut laluan yang langsung kita tak jangka.
Mentaliti Lama: Hapuskan Sebelum Anak Kita Terhimpit
Bila dengar cerita budak sekarang yang straight A, ramai lagi makcik-makcik suka ‘tolong tentukan’ masa depan anak orang:
“Kenapa ambil bidang biasa je? Rugi markah tinggi-tinggi!”
“Kenapa tak jadi doktor? Sayang bijak macam tu.”
Tapi realitinya, bukan semua pelajar diberi otak genius.
Bukan semua minat perkara sama.
Dan bukan semua perlu lalu jalan ‘popular’ untuk berjaya.
Che kak percaya, budak-budak sekarang dah bijak. Mereka usaha cari maklumat sendiri tentang bidang pengajian yang sesuai dengan minat. Mereka tahu apa yang mereka nak cuma mereka perlukan sokongan, bukan tekanan.
Apa Kita Patut Buat Sebagai Ibu Bapa, Guru & Masyarakat?
1. Doakan yang baik-baik. Itu paling penting.
2. Berhenti letak syarat kejayaan ikut laluan tertentu.
3. Biarkan anak belajar apa yang mereka minat.
4. Percaya bahawa semua bidang ilmu ada manfaat kalau kita belajar dengan ikhlas.
Rezeki? Kita tak tahu. Tapi kalau mereka belajar dengan semangat dan ikhlas, insyaAllah akan ada jalannya.
Hidup Tak Semestinya Ikut Pelan, Tapi Tetap Sampai Juga
Che kak tak dapat jadi Kapten KAGAT. Tapi Allah beri peluang lain pengalaman, pelajaran, dan kefahaman tentang hidup.
Daripada tak dapat bidang yang diminati, ke pointer 1.7, akhirnya grad juga dan masih dapat teruskan hidup dengan rezeki yang cukup. Banyak hikmah Allah dah atur.
Jadi kepada semua adik-adik yang sedang buat pilihan, dan ibu bapa yang sedang risau, tenanglah.
Biar mereka belajar dan kenal dunia dengan cara mereka. Kita cuma perlu iringi dengan doa, sokongan dan kepercayaan.
Dan kalau nak tahu kenapa che kak minat sangat nak jadi Kapten KAGAT, tunggu sambungan kisah nanti ya… 😉
#CeritaCheKak #KisahBenar #PelajarSPM #MinatLebihPenting #JalanRezekiAllahLuas
Comments
Post a Comment