Ada satu perkara yang semakin kerap berlaku — setiap kali ada krisis rumahtangga, nasihat dan teguran hampir selalu ditujukan kepada isteri.
Isteri disuruh sabar.
Isteri disuruh taat.
Isteri disuruh redha.
Isteri disuruh betulkan diri.
Tapi… suaminya di mana dalam perbincangan itu?
Bukankah rumah tangga itu dibina atas dua pihak? Maka tanggungjawab pun harus dipikul bersama. Kenapa hanya sebelah pihak yang dibedil dengan "tazkirah", sementara satu pihak lagi terus lepas dari muhasabah?
Wahai Ustaz, Nasihatlah Dengan Adil
Tegurlah juga kaum sejenis kalian.
Tegurlah lelaki yang culas.
Yang tidak tahu tanggungjawab.
Yang lupa menghargai isteri yang bangun sebelum subuh, tidur selepas lewat malam — bukan kerana kemewahan, tapi kerana ingin menjaga rumahtangga yang kalian bina.
Suami itu nakhoda. Kalau kapal terumbang-ambing, jangan terus salahkan anak kapal. Lihat dulu siapa yang pegang kemudi.
Kalau dah lama arah tak betul, kenapa baru sekarang nak kata “isteri tak pandai jaga rumah tangga?"
Jangan Hukum Tanpa Kasut Mereka
Kita tidak berada dalam kasut mereka.
Kita tidak tahu sakit mana yang mereka sembunyikan, air mata mana yang mereka tahan.
Dan kita tidak tahu apa yang mereka telan demi “jangan runtuhkan rumahtangga”.
Setidak-tidaknya, kalau tak mampu faham — punyalah simpati dan rasa adil.
Hari ini bukan berlaku pada anak perempuan kamu.
Bukan pada adik-beradik perempuan kamu.
Bukan pada ibu kamu.
Bukan pada isteri kamu.
Tapi kalau suatu hari nanti berlaku pada orang yang kamu sayang — masihkah kamu akan beri nasihat berat sebelah yang sama?
Keadilan Itu Tanggungjawab Kita Semua
Bahtera rumah tangga tak akan sampai ke destinasi kalau hanya satu pihak yang mendayung, sedang yang lain lena dibuai angin.
Nasihat yang adil bukan hanya menyelamatkan rumahtangga, tapi juga maruah, jiwa, dan anak-anak yang menjadi mangsa diam.
Berhentilah menjadikan isteri sebagai tempat melepaskan semua kesalahan.
Kalau benar mahu memperbaiki, maka tegurlah kedua-duanya suami dan isteri. Barulah ada harapan bahtera kembali ke haluan.
Comments
Post a Comment