Di Sebalik Gila Seorang Isteri"
“Buke abang hok gilo, sayo hok gilo dulu lagi…”
Itulah ayat yang selalu bermain dalam benak seorang isteri. Lucu bagi yang tak tahu, tapi bagi dia itulah kenyataan paling jujur tentang hati dan perasaan yang lama dipendam.
Che kak, wanita biasa. Isteri kepada seorang penjawat awam. Seorang ibu kepada tujuh orang anak yang semuanya masih bersekolah. Hidupnya tidak mewah, tapi cukup. Tapi bila badai datang hidup yang tenang mula berkocak.
Suaminya dipindahkan. Bukan jauh sangat, tapi cukup untuk meruntuh semangat. Che kak tahu, suaminya diam bukan kerana reda, tapi kerana terlalu koyak untuk berkata. Dia simpan segalanya dalam diam. Sedangkan che kak, yang memang "peseng dia", meluah di Facebook. Itulah tempat dia bercerita. Tempat dia melepaskan rindu, marah, keliru, kecewa.
Namun, langit tidak selamanya cerah. Luahan itu sampai ke telinga yang tak sepatutnya. Katanya, ia menjatuhkan imej jabatan. Che kak akur. Dia padam semua walau hatinya belum selesai bicara.
Tak cukup dengan itu, dia pernah terfikir, "Kalau berani, boleh je ke Putrajaya minta suami dikembalikan." Tapi dia tahu, dia cuma isteri biasa. Tak ada 'kabel', tak kenal sesiapa. Dia cuma ada satu: Allah.
Tapi rindu, bila dah terlalu lama dibiarkan, dia akan membuak. Satu hari, entah datang dari mana kekuatan itu, che kak tulis surat rayuan. Ayatnya jujur, ikhlas. Dari hati seorang isteri, seorang ibu, yang rindukan suaminya kembali.
Dia tak tahu nak kirim kat siapa. Tapi dia hantar juga. Email saja. Dengan harapan, "Asalkan mereka tahu isi hati che kak pun dah cukup."
Dan selepas itu, dia diam. Tak berani nak follow-up. Tapi umi dan papa, istiqamah solat hajat. Kawan-kawan tolong doakan. Malam-malam jadi tempat dia mengadu bukan lagi pada Facebook, tapi pada Tuhan.
Akhirnya…
"Syukur Ya Allah."
Satu hari, bila tengok surat tu, surat yang dinanti-nantikan hatinya berbunga. Tak perlu kata banyak. Dia tahu, doa itu benar-benar tembus langit.
Surat pertama dulu buat dia rebah,
tapi surat ini…
membuat dia bangkit, dan menangis kali ini kerana syukur.
.
Comments
Post a Comment