"Cinta Terlarang, Aib Di Medsoc & Bahaya Viral” "Taip padam taip padam..." Entah nak teruskan tulis ke tidak. Tapi hati ini tak tenang. Teringat puisi lama Che Kak di page Koleksi Nukilan Hasliza — kisah cinta terlarang. Cinta terlarang ini, ya... memang sangat enak dilayan. Manisnya terasa luar biasa sebab syaitan sendiri yang taburkan gula. Bila kita leka, kita hanyut. Dan bila kantoi, malu dan aibnya tak habis tujuh keturunan. Baru-baru ni viral kisah cinta di Madinah. Allahu... takut. Takut kata-kata sendiri diuji. Takut tulisan sendiri jadi bumerang. Sebab itu, Che Kak rasa... Tak wajar dijadikan tontonan umum. Aib bukan untuk dijaja. Kalau betul sayang dan pernah mencintai tutuplah walau sudah tak bersama.
Buat suami yang kecewa dengan pasangan, terutama isteri:
Jangan sesekali paparkan segala aib isteri di media sosial.
Jangan dedahkan screenshot WhatsApp, mesej lama, rakaman suara.
Itu bukan cara selesaikan masalah.
Itu cara mewariskan malu kepada anak cucu sendiri.
Aib isteri... tetap akan tempias pada keluarga:
Anak-anak malu nak ke sekolah.
Ibu ayah menanggung malu yang bukan dosa mereka.
Nama keluarga jadi bualan orang, entah bila akan padam.
Jika benar isteri berdosa, gunakan jalan yang Allah ajar.
Tegur secara baik.
Minta nasihat pihak ketiga.
Bincang dengan waris.
Bercerai secara beradab.
Dan buat kita semua wanita atau lelaki
Beringatlah, cinta yang diletakkan bukan pada tempatnya, akan bawa rebah.
Sama ada dalam diam, atau terang-terangan, cinta terlarang tetap haram.
Tak semua benda kita perlu viralkan.
Tak semua aib kita perlu tanggungjawabkan orang lain.
Jangan kerana marah hari ini, kita buka ruang murka Allah sampai akhirat.
Tutup aib, walau hati kita remuk.
Biar orang tak tahu, tapi Allah tahu kita cuba jaga maruah.
Comments
Post a Comment