Poligami Itu Sunnah, Bukan Bahan Konten Murahan

Nak kahwin dua, tiga, empat? Silakan.

Ada rezeki, ada jodoh, ada kemampuan — siapa kita nak halang.

Aku pun tak kisah. Bukan laki aku yang berpoligami. Aman sentosa dunia aku.

Tapi yang menyakitkan mata dan hati bila suami jadikan air mata isteri sebagai konten tontonan umum.

Buat video isteri menangis reda dipoligami, kononnya hebat sebab berjaya "lembutkan hati bini".

Tak power langsung bang. Tak 'rare' pun. Yang ramai marah bukan sebab kau kahwin lagi satu, tapi sebab kau hilang adab dalam mendidik dan memimpin.



Sayang Bersebab, Cinta Bersyarat?

Ada pula yang berani cakap,
“Lepas bini izinkan poligami, makin sayang gila kat dia.”
So whatttt? Kalau tak bagi, terus tak sayang ke?
Apa jenis cinta yang datang dengan syarat — "kalau kau ikut cakap aku, baru aku sayang kau lebih"?

Poligami bukan kontrak ugut perasaan.
Bukan juga pentas untuk tunjuk siapa paling "strong" hadap ujian jadi madu.


Bukan Isu Menentang Poligami, Tapi Menyampah Dengan Ego

Tolong faham ya —
Isu ini bukan tentang menentang hukum Allah.
Ini tentang lelaki yang mempergunakan hukum Allah untuk penuhi kehendak sendiri, tapi lupa tanggungjawab yang datang bersamanya.

Ada isteri yang cantik, lembut, setia — masih dicari pengganti.
Ada pula isteri yang sakit terlantar bertahun-tahun —
dan suami tetap setia jaga, suap makan, urus segalanya sendiri.
Jadi di mana logiknya alasan “aku kahwin lagi sebab isteri aku dah tak macam dulu”?


Yang Duda Pulak Lain Cerita

Kadang pelik, yang duda pula ada sampai 10 tahun tak kahwin-kahwin.
Cari calon pun macam misi mustahil.
Yang betul-betul nak setia, susah cari isteri.
Yang baru kahwin 5 tahun, anak pun belum sekolah — dah gatal nak buka cawangan.

Mana letaknya akal dan adab?


Jangan Jadikan Hukum Sebagai Helah

Kalau betul nak berpoligami, silakan.
Tapi jangan jadikan isteri sebagai bahan tontonan.
Jangan jadikan hukum sebagai lesen menyakiti.
Dan jangan berbangga bila berjaya "patahkan hati" wanita yang selama ini sabar di sisi.

Kerana poligami itu sunnah Rasulullah, bukan gurauan TikTok.
Ia datang dengan ilmu, adil, tanggungjawab, dan empati — bukan dengan view, like dan pujian kosong dari lelaki lain yang belum tentu mampu berlaku adil pun.

Tulis lebih-lebih kang kata kita menentang poligami. Tapi kalau diam, makin menjadi pula 'abang-abang content' ni.

Semoga satu hari nanti lelaki belajar menyayangi bukan bila wanita mengalah,
tapi bila dia dihormati sebagai insan yang layak dicintai sepenuh hati.


📝 Ditulis oleh:
Che Kak yang bukan anti-poligami, tapi anti-bodoh guna hukum buat content air mata.




Comments