Pejam Celik, Masa Terus Berlari... Pejam celik, pejam celik... hari ini dah 12.12. Tarikh comel ni pernah juga terlintas dalam angan-angan masa tahun 2015 dulu — berangan kalau ada rezeki anak lahir pada tarikh ni. Tapi itu semua ketentuan Allah. Sekarang, tak lama lagi nak masuk tahun baru. Maka, umur pun semakin bertambah. Dan bila umur bertambah, realitinya kita semakin hampir dengan kematian. Jujurnya, diri ini cuma nak hidup tenang-tenang saja. Tapi hakikatnya, hidup ni memang penuh ujian. Syurga itu bukan murah harganya. Ujian itu jalan menuju redha dan rahmat Allah. Siapa pun kita hari ini, jangan pernah lupa dari mana asalnya kita datang. Dan lebih penting ke mana akhirnya kita akan pergi.
Selagi nyawa masih ada, rebutlah peluang untuk mencari keredhaan Allah. Dia tak pandang bangsa, kaum, warna kulit, atau pangkat. Yang Allah pandang adalah takwa dan hati yang bersih sebagai hamba-Nya.
Tak semestinya kita kena jadi ustaz atau pendakwah untuk menjaga agama. Cukuplah kita jaga amal, jaga prinsip, jaga solat dan tingkah laku.
Jaga juga hubungan dengan manusia. Jangan sesekali zalim atau aniaya orang lain. Ingat! Doa orang yang teraniaya itu tiada hijabnya dengan Allah.
Kalau ada hutang, cubalah sedaya upaya untuk bayar. Kalau memang tak mampu, jangan ringankan lidah bagi hutang dan harap dihalalkan.
Uruskan dengan jujur dan beradab.
Kalau ada pasangan hidup, jangan letakkan harapan mereka mesti sempurna serba-serbi. Tak ada siapa pun yang sempurna. Baik buruk itulah jodoh kita. Jangan bandingkan dengan pasangan orang lain kerana yang kita nampak indah tu, mungkin sekadar lakonan dan bayangan.
Anak-anak pula adalah amanah besar. Mereka bukan perlumbaan untuk jadi paling pandai, paling berjaya, paling comel. Walau apa pun keadaan mereka, mereka tetap amanah. Satu hari nanti, doa mereka lah yang kita harapkan untuk menyelamatkan kita di alam barzakh.
Panjang pula ‘ngepek’ hari ni. Bukan nak berkhutbah, cuma sekadar coretan hati menjelang penghujung tahun.
Semoga Allah terus pandu langkah kita. Semoga kita pulang kepada-Nya dalam keadaan yang Dia redha. Amin.
Comments
Post a Comment