Bahagia Itu Kita Yang Rasa

Bahagia itu tak perlu ditayang, tak perlu dibanding. Setiap orang ada jalan hidup sendiri.

Apa yang nampak sempurna di media sosial belum tentu menggambarkan keseluruhan kisah hidup seseorang.

Umpama gambar Laksa Penang yang nampak menyelerakan tapi mungkin kuahnya masin, telurnya tiada, dan laksa itu pun dah berhari-hari dalam peti sejuk. Masih boleh dimakan, ya, tapi tak seindah rupa dalam gambar.

Begitulah juga kehidupan kita bukan semuanya manis dan sempurna, tapi kita tetap bersyukur kerana ia masih memberi kita ruang untuk terus hidup dan bernafas.

Ramai lihat hidup orang lain, lalu berkata:
"Untunglah dia ada suami baik, anak comel, kerja stabil, boleh melancong…"

Tapi mereka tak tahu, yang ditayang hanya yang indah-indah, yang luka dan pedih disimpan jauh dalam hati.

Saya juga pernah rasa putus asa.
Pernah ditolak mentah-mentah hanya kerana tidak bekerja.

Pernah bermalam di masjid dengan sehelai sepinggang kerana difitnah.

Pernah jadi anak kecil sakit jantung yang perlu telan ubat setiap hari sampai satu hari buang ubat kerana dah terlalu letih menelan pahit.

Pernah impikan jadi pelari, tapi hanya mampu berlari waktu ke kelas mengaji, kerana minat itu tak pernah sempat disuburkan.

Saya juga pernah pukul orang semasa kecil bukan bangga, tapi kerana dulu tak pandai mengawal marah. Budak kurus sakit jantung, tapi pantang diganggu. Hari ini saya hanya mampu memohon kemaafan dalam diam.
Syukur bukan zaman viral.

Saya tahu bagaimana rasa patah hati bila keluarga sendiri retak bila ma dan ayoh berpisah selepas berpuluh tahun. 

Bila adik-adik menangis dan terkapai-kapai dalam laut masa dalam mimpi, hati saya juga hancur. Saya simpan semua itu dalam diam.
Saya pilih untuk kuat demi mereka.

Saya bukan sempurna. Saya pernah marah, pernah rebah, pernah kecewa, pernah hilang arah. Tapi saya tetap bangun, kerana hidup ini tetap perlu diteruskan.

Menulis adalah satu cara untuk saya menyembuhkan diri  dan berkongsi rasa.
Bukan untuk simpati, tapi untuk memberi semangat kepada yang lain:
Bahawa kita semua sedang berjuang dengan cara kita sendiri.


Pesan Akhir

Jangan bandingkan hidup kita dengan orang lain.

Apa yang penting, kita jaga hati kita, kita pelihara emosi kita.

Jauhkan dari mereka yang menyakitkan jiwa, bukan kerana kita lebih baik tapi kerana kita mahu lindungi diri kita yang terlalu lama diam menanggung luka.

Syukur itu kunci bahagia.
Sabar itu pendamping setia.
Dan hidup ini, walau sukar, tetap punya harapan selagi kita masih bernyawa.




Comments