Aurat Sesama Wanita: Jangan Sampai Terlepas Batas

 🌸Aurat sesama wanita tetap ada batasannya


Dalam Islam, walaupun sesama wanita, aurat tetap perlu dijaga. Menurut mazhab Syafi’i dan kebanyakan pandangan ulama, antara aurat sesama wanita ialah antara pusat hingga lutut, dengan syarat mereka adalah wanita Muslimah dan tidak ada syubhah (keraguan terhadap keimanan atau niat). 


Namun, walaupun secara hukum ada kelonggaran, rasa malu tetap perlu dijaga kerana malu adalah perisai akhlak.


Kita lupa, aurat sesama wanita pun ada batasnya, bukan boleh dedah semua sesuka hati.


🌸Sifat malu adalah sebahagian daripada iman


Sabda Rasulullah SAW:


 "Malu itu adalah sebahagian daripada iman."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Wanita yang menjaga rasa malu, baik dalam berpakaian, pergaulan, tutur kata, dan tingkah laku  sangat mulia di sisi agama. 


Malu itu pelindung. Bila malu hilang, mudahlah maksiat dan kelalaian masuk ke dalam hidup.


Nak minta tolong anak sapukan minyak panas kat belakang badan pun rasa segan. Bukan sebab apa, sebab rasa malu tu masih ada. 


Che Kak bukan nak kata semua kena jadi sempurna. Tapi cukuplah ada rasa segan. Itu tanda hati kita masih hidup, masih kenal batas. Bila hilang malu, macam-macam boleh jadi.


Che Kak teringat masa mengandungkan abang Aiman dulu. Ada ikut satu operasi bersepadu. Singgah dekat satu pusat hiburan. Che Kak tak masuk, tengok dari luar je. Nampak bayang orang terkinja-kinja menari. Yang peliknya, mereka berpakaian pun dah nampak hodoh. 


Tak dapat bayang kalau mereka berbogel menari, macam mana rupa maruah tu?


Nauzubillahiminzalik. Bila manusia hilang malu, maka hilanglah segala nilai.


Zaman sekarang, nilai malu semakin terhakis, lebih-lebih lagi dengan normalisasi pendedahan aurat di media sosial.


Wanita yang menjaga malu, bukan lemah tetapi bernilai tinggi di sisi Allah. Rasa malu bukan untuk disingkirkan, tapi untuk dipelihara dan dididik. Dalam dunia yang makin terbuka ini, kembalilah kepada nilai Islam yang penuh kelembutan dan kehormatan.



Comments