Siri 2 : Satu Bab Bermula, Kisah Rumah Pertama Che Kak

Sebaik sahaja tahu tuan rumah asal ingin jual rumah, terus kami “cop”. Tak tunggu lama. Dalam hati masa tu, ini rezeki yang Allah lorongkan.


Che kak dan suami terus mula survey pinjaman perumahan dari bank-bank sekitar Kok Lanas. Entah kenapa, walaupun ramai kata pinjaman LPPSA lebih mudah dan berbaloi untuk kakitangan kerajaan, pintu hati macam tak terbuka ke arah itu.


Akhirnya, kami buat keputusan nak mohon pinjaman Bank Rakyat.


Tengah-tengah proses semakan kelayakan, Allah uji. Pegawai bank yang uruskan permohonan kami terlibat dalam kemalangan jalan raya. Keadaannya agak serius dan dia perlu cuti sakit yang panjang. Kalau tak silap, hampir sebulan juga. Jadi, proses pun tergendala sementara.


Walaupun menunggu dalam debar, kami terus sabar.


Selepas beberapa bulan (che kak dah lupa tempoh  berapa lama), alhamdulillah kami dapat panggilan daripada Bank Rakyat. Mereka minta kami hadir untuk tandatangan dokumen. Suami che kak tak dapat teman sebab ada kursus, jadi che kak ajak Kak Wani untuk temankan. Kalau pergi seorang diri, memang mula la rasa panik dan serba tak kena.


Sementara menunggu proses pinjaman tu berjalan, che kak ada juga cerita pada beberapa kawan rapat. Bukan niat nak menunjuk atau “nyohor” kata orang. Tapi lebih kepada nak dapatkan pandangan dari mereka yang pernah melalui proses beli rumah.


Che kak tahu suami memang beri sokongan dan bantu sepenuhnya. Tapi sebagai isteri, che kak pun nak rasa seronoknya bila kita sendiri turut serta dalam urusan penting macam ni. Nak belajar, nak faham, nak rasa terlibat, itu pun satu bentuk kepuasan diri.


Syukur, satu bab dah selesai. Masih panjang lagi perjalanan nak urus dokumen, nak masuk rumah, nak sediakan kediaman jadi tempat yang selesa dan berkat.


Penafian: Catatan ini merupakan perkongsian pengalaman peribadi semata-mata. Ia tidak mewakili pandangan atau pendirian mana-mana individu, jabatan, agensi kerajaan, atau organisasi swasta.


Comments