Siri 1: Beli Rumah Sebelah, Rezeki Yang Tak Disangka

My First House Buying Experience

Alhamdulillah, syukur Ya Allah.

Semalam (2.8.2025) che kak ambil kunci rumah baru. Isytihar harta dalam HRMIS pun dah selesai. Sebagai penjawat awam, itu memang tanggungjawab kita, kena telus, amanah dan jujur dalam apa yang kita miliki.


Tak Pernah Termimpi Beli Rumah

Sejujurnya, setelah 23 tahun bekerja, che kak tak pernah termimpi pun nak beli rumah. Kalau memang ada niat dari awal, masa mula kerja dulu dah boleh beli. Tapi tak beli dan tak pernah ada keinginan pun.


Kenapa? Sebab suami dah sediakan tempat tinggal untuk kami. Cukuplah. Che kak pula bukan jenis yang suka kumpul harta. Lebih selesa ada tunai untuk keperluan, kecemasan dan ketenangan hati.


Rumah Sebelah, Satu Kebetulan Yang Sangat Cantik

Tapi entah kenapa, hati tiba-tiba terbuka nak beli rumah. Rumah sebelah pula tu. Jiran lama nak pindah ke rumah baru. Macam satu kebetulan yang sangat cantik. Tak dirancang, tapi Allah aturkan semuanya dengan begitu rapi.


Lepas berbincang dengan suami, kami sepakat untuk beli. Rasa macam rugi kalau lepaskan peluang ini. Rumah yang sangat dekat, jiran yang kita kenal, dan kawasan yang dah sebati dengan hidup kami.


Rezeki Allah Datang Bila Kita Sedia

Rezeki Allah tu memang datang dalam pelbagai cara. Kadang-kadang bukan waktu kita rancang, tapi waktu kita sedia. Bila hati tenang, bila jiwa reda, waktu itu Allah hadirkan apa yang kita tak sangka-sangka.


Doakan semuanya dipermudahkan dan diberkati, ya. 🤲🏼🏡


Mengemas Bersama-Sama

Balik dari kerja petang tadi, che kak nampak suami dan anak-anak sedang sibuk mengemas dan membersihkan ruang rumah baru. Mereka kumpulkan barang-barang peninggalan tuan rumah lama.


Che kak faham keadaan isteri tuan rumah asal. Beliau masih dalam tempoh eddah, dan anak-anaknya pula tinggal jauh. Tentu bukan mudah untuk urus semuanya dalam keadaan begitu. Tak mengapa, che kak faham. Che kak anak ramai, dan kerja mengemas tu tak ambil masa lama pun bila dibuat sama-sama.


Lebih Dari Sekadar Sebuah Rumah

Sebenarnya, panjang lagi kisahnya. Dari hari pertama kami mula berurusan dengan rumah ini sehinggalah ke hari kami ambil kunci terlalu banyak momen yang menyentuh hati.


Setiap langkah, ada hikmah.

Setiap cabaran, datang dengan pelajaran.


Perjalanan ini bukan sekadar tentang memiliki rumah, tapi simbolik kepada sabar, tawakal dan usaha berterusan. Bila kita serah segalanya pada Allah, Dia aturkan yang terbaik tepat pada waktunya.


Slowly but surely.


Penafian: Catatan ini merupakan perkongsian pengalaman peribadi semata-mata. Ia tidak mewakili pandangan atau pendirian mana-mana individu, jabatan, agensi kerajaan, atau organisasi swasta.

Catatan pada 3.8.2025

Comments