Siri 4 : Pengalaman Che Kak Mohon Taraf Peranakan Kelantan

Pihak peguam ada whatsapp che kak, minta isi satu borang permohonan Anak Kelantan. Katanya penting untuk urusan tanah sebab che kak bukan kelahiran negeri Kelantan.


Dia pesan, lepas siap isi borang tu, lawyer (atau mungkin wakil lawyer sendiri, che kak pun tak pasti sebab tak kenal) minta hantar dekat runner mereka.


Che Kak Dah Lama Tinggal di Kelantan


Sebenarnya, che kak dah tinggal di Kelantan tanpa putus sejak tahun 2005 hingga sekarang. Dah 20 tahun, tau! Sebelum tu pun, che kak pernah bersekolah di Kelantan dari tahun 1993 hingga 1996. Lepas tu, sambung belajar dan kerja di Kuala Lumpur sampai 2004. Masa tu memang merantau, belajar dan bekerja.


Tapi sejak tahun 1998/1999, keluarga che kak dah pindah semula ke Kelantan. Cuma ye lah, sebab bukan lahir di Kelantan, tetap kena lalui permohonan ni kalau nak uruskan hal berkaitan tanah.


Proses Permohonan Anak Kelantan 

Banyak dokumen sokongan yang kena sediakan sebagai bukti kita memang dah lama bermastautin di Kelantan.


Antara dokumen sokongan yang che kak lampirkan:

Surat pertukaran kerja ke Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu

Surat pengurniaan Bintang Seri Kelantan (Bro Dien bagitau hok ni kemah dooh doh)

Kenyataan perkhidmatan di dalam sistem Hrmis 

Sijil kelahiran anak-anak (semuanya lahir di Kelantan)

Borang Akuan (Borang AM 80)

Surat sokongan dari Penggawa, Imam Mukim, dan Ketua Kampung

Dan lain-lain dokumen berkaitan


Borang asal tu pula, kena tulis tangan. Tapi terus terang che kak cakap, malas nak tulis dengan pen. Tulisan pun bukan lawa mana. Jadi, suami che kak sanggup taip semula semua borang tu sebab dia nak bagi nampak kemas. Alhamdulillah, ada suami yang supportive.


Jumpa Penggawa  (Mujur Ada Bro Dien)

Nak jumpa Penggawa tu, che kak segan sebenarnya. Walhal nak minta tandatangan sokongan sebagai anak Mukim je. Tapi nasib baik ada Bro Dien. Kebetulan dia kenal rapat dengan Penggawa bukan setakat hubungan kerja, tapi hubungan guru dan anak murid pun ada.


Dialah jadi jurucakap. Bro Dien yang tolong tanya pasal prosedur permohonan. Kalau harap che kak buka mulut, memang tak jalan. Segan tak bertempat. 😅


Alhamdulillah, Penggawa baik dan sangat membantu. Beliau terang satu-satu apa yang perlu dibuat dan dokumen mana yang penting.


Menurut Penggawa, sijil Anak Kelantan ada dua jenis:

1. Sementara (sah untuk setahun) – bayaran RM180

2. Seumur hidup – bayaran RM440


Che kak sempat tanya juga, wajib ke guna khidmat peguam? Jawapan Penggawa: tak wajib, kecuali kalau ada isu berbangkit atau bantahan semasa permohonan.


Kesimpulan:


Nak mohon taraf Anak Kelantan ni bukanlah susah sangat, tapi kena sabar, teliti urus dokumen, dan pandai jaga hubungan terutamanya dengan Tok Ngulu, Imam dan Penggawa.


Yang penting, bila kita dah lama tinggal di Kelantan, kita memang berhak untuk buat permohonan ni  asalkan ikut saluran dan prosedur yang betul.


Insya Allah nanti che kak sambung lagi… pasal soalan-soalan yang timbul masa isi borang. Mana tahu boleh bantu orang lain yang tengah lalui proses sama.


Penafian: Catatan ini merupakan perkongsian pengalaman peribadi semata-mata. Ia tidak mewakili pandangan atau pendirian mana-mana individu, jabatan, agensi kerajaan, atau organisasi swasta.


Comments