Kadang-kadang, kita tak sangka lagu yang ringkas dan catchy boleh menyentuh jiwa kita.
Begitulah yang Che Kak rasa bila dengar lagu "Trouble Is a Friend" nyanyian Lenka.
Lagu ni bukan sekadar hiburan tapi jadi penguat semangat, lebih-lebih lagi bila hidup terasa berat dan masalah datang bertalu-talu dan tanpa di sangka.
Setiap kali lagu ini berkumandang, terasa seperti ia memahami apa yang sedang bergolak dalam hati kita.
Dan lebih menarik, mesejnya sangat relevan dengan kehidupan seharian kita semua.
Masalah Sentiasa Ada
Realitinya, masalah tak pernah lari daripada hidup kita. Sama ada kita suka atau tidak, masalah akan tetap datang ibarat "kawan" yang sentiasa mengekori ke mana kita pergi.
Antara cabaran harian yang biasa kita hadapi:
Tekanan di tempat kerja atau dalam pelajaran
Masalah kewangan yang menghimpit
Konflik dalam keluarga atau dengan rakan
Kesulitan dalam hubungan peribadi
Perasaan cemas, kecewa, atau hilang arah
Lenka menyampaikan ini secara kreatif dalam lagu beliau. "Trouble is a friend" bukan untuk memujuk kita menerima masalah secara pasrah, tapi untuk mengingatkan bahawa masalah itu adalah sebahagian daripada kehidupan bukan musuh asing yang luar biasa.
Belajar Terima dan Hadapinya
Apa yang indah tentang lagu ini ialah mesej tersiratnya, belajarlah untuk menerima kehadiran masalah dan hadapinya dengan kekuatan dalaman.
Melalui ujian, kita:
Belajar jadi lebih sabar dan matang
Tahu siapa yang benar-benar ada untuk kita
Jadi lebih kuat, tabah dan berani
Mula menghargai saat-saat tenang dan kecil yang dulunya dianggap biasa
Kadangkala, ujian itulah yang membawa kita lebih dekat dengan Tuhan dan mengingatkan kita tentang bekalan akhirat. Mati pun ada masalah, jika kita pergi tanpa cukup amal.
Bila Luar Nampak Okay, Tapi Dalam Bergelut
Yang paling menyentuh dalam lagu ni adalah bagaimana ia menggambarkan pergelutan dalaman yang orang lain tak nampak.
Dari luar, hidup kita mungkin nampak tenang senyum, ketawa, bergambar di media sosial. Tapi jauh di sudut hati, mungkin kita sedang menanggung beban yang tak terluah.
Dan di sinilah lagu seperti ini memainkan peranan ia buat kita rasa difahami, dan yang paling penting, tak keseorangan.
Hadapi, Bukan Lari
"Trouble Is a Friend" mengingatkan Che Kak dan mungkin juga ramai di luar sana bahawa:
Masalah bukan untuk ditakuti, tapi untuk dihadapi. Ia bukan musuh yang perlu dilenyapkan, tetapi guru kehidupan yang perlu difahami.
Jadi, jika hari ini awak rasa hidup terlalu berat, cuba tenangkan diri, tarik nafas… dan ingat, awak bukan keseorangan. Lagu ini mungkin cuma sebuah lagu, tapi inspirasi yang dibawanya sangat besar maknanya.
Comments
Post a Comment