Kebersihan Itu Cerminan Diri

Lepas solat Asar tadi, che kak gagahkan juga diri untuk sambung bersihkan kawasan luar rumah. Walaupun ada rasa malas, hati tetap tidak tenang selagi kerja itu tidak dibuat.


Betullah kata orang, kebersihan luar rumah memberi first impression kepada tetamu yang datang.


Sambil che kak sibuk mencuci longkang ditemani kucing jiran, suami pula teruskan kerja dengan pasir dan simennya. Mengalahkan tukang rumah! Begitulah sikap beliau selagi boleh buat sendiri, dia akan usaha.



Indahnya bila ada kesedaran bersama che kak menjaga kebersihan, suami pula menggalas kerja membaiki. 


Rumah jadi bukan sekadar tempat berteduh tetapi ruang yang dibina dengan usaha kasih sayang dan rasa tanggungjawab bersama.


Che kak teringat lawatan ke rumah penerima bantuan. Ada rumah yang dibiarkan bersepah dan penuh sampah. 


Bukankah sakit mata melihatnya? Apatah lagi bila ada anak-anak besar yang mampu membantu tetapi tidak mahu ambil tanggungjawab.


Kebersihan rumah sebenarnya mencerminkan budaya saling membantu dalam keluarga. 


Ia bukan soal kaya atau miskin tetapi soal sikap. Malah ada warga emas yang tinggal seorang diri di rumahnya tetap bersih dan teratur.


Sayangnya ada juga rumah yang tidak boleh diduduki kerana kotor dan penuh sampah. Inilah bukti bahawa mindset masyarakat kita tentang kebersihan masih sukar diubah. Miskin bukan alasan untuk kotor.


Lebih membimbangkan ketika che kak menziarahi rumah peniaga makanan di sekitar Kota Bharu, tahap kebersihan sesetengahnya amat mengecewakan. Sedangkan makanan itu masuk ke tubuh orang ramai. Bukankah menjaga kebersihan itu amanah?


Kebersihan bukan hanya untuk sedap mata orang lain memandang tetapi untuk kesihatan dan ketenangan diri kita sendiri.

Comments