Kita semua tahu bahawa anak-anak dilahirkan umpama kain putih yang bersih. Kitalah yang menentukan coraknya sama ada abstrak, berbunga, warna-warni atau hitam putih mengikut acuan dan didikan yang kita berikan sejak mereka kecil.
Namun hari ini pelbagai isu berkaitan tingkah laku dan masalah sosial dalam kalangan anak-anak khususnya pelajar sekolah, semakin membimbangkan.
Pengaruh media sosial begitu kuat dan mudah meresap ke dalam kehidupan mereka.
Dulu memang ada juga masalah sosial tetapi masih terkawal. Pengaruh luar tidaklah seteruk sekarang. Televisyen hanya ada TV1, TV2 dan TV3 itu pun siarannya tamat menjelang tengah malam. Permainan video pula sekadar game petak-petak yang tidak melalaikan.
Mak ayah dahulu mendidik dengan ketegasan dan kasih sayang. Anak yang pulang lewat hampir waktu Maghrib akan dirotan atau dimarahi.
Tidak buat kerja sekolah atau malas mengaji maka rotanlah jawabnya.
Bergaduh sesama adik-beradik pun boleh menambah bilangan rotan.
Namun rotan itu bukan untuk menyakitkan cukup sekadar memberi peringatan dan mendidik hati supaya tahu batas dan disiplin.
Anak-anak dahulu lasak dan aktif berkubang di sawah padi, terjun sungai, panjat pokok, main basikal keliling kampung, main pondok-pondok.
Walaupun kadang-kadang pulang dengan baju kotor dan lutut berdarah, mak ayah tidak marah. Mereka tahu itu sebahagian daripada proses membesar dan belajar tentang kehidupan.
Sekarang suasana sudah jauh berbeza. Anak-anak kelihatan diam dan “baik” tetapi di sebalik ketenangan itu kita sendiri tidak menyangka ada yang terlibat dengan gejala sosial yang merisaukan.
Dunia di hujung jari menjadikan segalanya terlalu mudah dicapai baik yang baik mahupun yang buruk.
Dalam menghadapi cabaran ini, kita tidak perlu mencari formula baharu yang belum tentu berkesan untuk mengubah tingkah laku kanak-kanak yang sudah terjebak dengan pelbagai kesalahan. Jawapan sebenarnya sudah lama ada kembali kepada fitrah.
Fitrah manusia adalah berpegang kepada ajaran agama yang telah lengkap digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Islam telah menetapkan panduan yang menyeluruh tentang pendidikan anak-anak, adab dan akhlak. Kita hanya perlu mengikutinya dengan istiqamah dan penuh keikhlasan.
Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengenal Allah dan Rasul-Nya. Apabila anak-anak dibesarkan dengan mengenal Tuhan dan memahami tujuan hidup mereka akan tahu membezakan antara benar dan salah, antara dosa dan pahala. Dari situ, lahirlah generasi yang berakhlak, beriman dan bertanggungjawab.
Selain itu, satu perkara yang semakin dilupakan oleh generasi muda hari ini ialah adab dan rasa hormat kepada guru.
Guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi insan yang menjadi jambatan antara ilmu dan keberkatan.
Dalam Islam, keberkatan ilmu sangat bergantung kepada adab pelajar terhadap gurunya. Ilmu yang dipelajari tanpa adab dan tanpa hormat hanya akan menjadi pengetahuan kosong yang tidak memberi cahaya dalam kehidupan.
Dulu, anak-anak diajar mencium tangan guru, tunduk bila bertemu, mendengar nasihat walau tegas bunyinya. Sekarang, segelintir pelajar berani mempersoalkan malah menentang guru di media sosial. Ini bukan tanda keberanian, tetapi tanda hilangnya adab dan apabila adab hilang maka hilanglah berkat.
Didikan bermula dari rumah bukan dari sekolah, bukan dari telefon pintar dan bukan dari media sosial.
Ibu bapa ialah madrasah pertama bagi anak-anak. Jika asasnya kukuh, insya-Allah mereka akan mampu berdiri teguh menghadapi arus dunia yang mencabar ini.
Kita tidak mampu mengubah zaman tetapi kita mampu membentuk manusia yang hidup di dalamnya.
Itu hanya dapat dicapai apabila kita benar-benar kembali kepada fitrah, kembali kepada agama, adab dan hormat kepada guru.

Comments
Post a Comment