Sentuhan Kemanusiaan Dalam Dunia Kebajikan

Pesakit kanser terutama yang sudah di tahap 3 atau 4 bukan sekadar pesakit. 


Setiap hari berperang dengan rasa sakit, keletihan dan ketakutan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.


Rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi bukan saja melemahkan badan tapi juga semangat.


Ramai antara mereka tak mampu bekerja lagi bukan sebab tak nak kerja tapi sebab tubuh dah tak kuat.


Nak bangun pun kadang perlu bantuan apatah lagi nak bekerja cari rezeki. 


Tapi dalam masa yang sama hidup tetap perlukan belanja ubat, makanan berkhasiat, tambang ke hospital, penjagaan diri. Semua itu kos yang besar.


Bila seseorang pesakit atau penjaga datang ke  jabatan atau agensi yang memberi bantuan, itu tandanya mereka sudah sampai ke tahap paling tak berdaya dalam hidup.


Mereka tidak datang untuk mengemis tetapi datang dengan harapan mencari sedikit sokongan agar beban hidup dapat diringankan walau sedikit.


Che kak faham kakitangan jabatan  mengikut garis panduan. Ada syarat kelayakan, dokumen perlu disemak, laporan pendapatan dan pengesahan yang mesti lengkap. Itu semua penting, sebab duit kerajaan perlu diurus dengan telus dan amanah.


Tapi, di sinilah letaknya seni dalam pekerjaan kebajikan bukan sekadar ikut peraturan tapi menilai dengan hati dan empati.


Kadang-kadang, prosedur boleh jadi terlalu rumit. Ada permohonan ditolak kerana dokumen tidak lengkap atau kerana anak pesakit masih bekerja dan dianggap mampu menanggung ibu bapa.


Tapi kita lupa tidak semua anak mampu menanggung sepenuhnya. Ada yang sendiri bergelut dengan kos sara hidup dan cukup-cukup makan. Sebab itu, budi bicara sangat penting.


Budi bicara bukan bermaksud langgar peraturan tapi 'memanusiakan sistem'.


Sebab setiap kes itu unik dan di sebalik setiap borang permohonan, ada cerita yang kita tak tahu.


Kita perlu melihat bukan sekadar catatan di atas kertas tetapi realiti di lapangan.


Kadang, pesakit hanya perlukan seseorang untuk memahami bukan sekadar cop “lulus” atau “gagal”, tetapi sedikit keprihatinan, simpati dan harapan.


Kalau dokumen pesakit tak lengkap, bantulah dia faham apa yang perlu dibuat.


Kebajikan sosial bukan tentang mengurus bantuan semata-mata. Ia tentang membantu manusia di saat mereka paling lemah.


Janganlah kita hilang sentuhan kemanusiaan.


Menilai dengan hati menjadikan setiap keputusan lebih bermakna dan setiap tindakan lebih bernilai.


Che kak percaya empati itu kadang lebih menyembuhkan daripada ubat  dan itu sebenarnya ubat yang paling mujarab.



Comments