Sekali sekala che kak berpeluang menyantuni klien bersama sukarelawan.
Selepas menerima rujukan terus che kak mengambil langkah pertama.
Turun sendiri ke rumah mereka untuk meninjau, memerhati dan memahami keadaan sebenar.
Dalam kerja sosial, ada satu garis yang memisahkan simpati dan empati.
Simpati itu mudah. Nampak orang susah, kita rasa kasihan. Lepas itu, selfie dan upload di media sosial dengan caption. Sekali imbas, nampak mulia. Tapi adakah itu bantuan atau persembahan?
Empati pula menuntut kita untuk duduk sejenak dalam kasut mereka. Dengar dulu cerita mereka. Fahami apa sebenarnya mereka perlukan.
Bukan semua orang perlukan duit. Ada yang perlukan tempat tinggal selamat, sokongan moral, perhatian atau panduan selepas kehilangan pasangan.
Kepuasan sebenar bukan datang dari gambar kita bersama mereka tetapi dari ketenangan wajah mereka selepas dibantu dengan cara yang betul.
Walaupun mudah untuk mengambil gambar setiap klien dan memuat naik ke media sosial tetapi kerahsiaan klien adalah keutamaan.
Mereka bukan subjek untuk menaikkan nama kita. Mereka manusia dengan maruah dan harga diri.
Menjadi prihatin itu bagus tetapi bila bantuan berubah menjadi 'content', kita perlu tanya diri apa niat sebenar kita? Nak bantu atau nak dipuji kerana membantu?
Bantuan bukan diukur dari berapa banyak yang kita beri tetapi sejauh mana kita benar-benar memahami dan menghormati orang yang kita bantu.
Comments
Post a Comment