Terlalu murah nilai nyawa di tangan manusia hari ini.
Hampir setiap hari, kita disajikan dengan berita yang menyayat hati suami membunuh isteri, anak menamatkan riwayat ibu bapa malah adik-beradik saling berbunuhan.
Apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada manusia zaman ini?
Perselisihan faham, tekanan hidup dan rasa tidak puas hati sering dijadikan alasan.
Namun adakah itu benar-benar satu jalan penyelesaian? Adakah kematian seseorang mampu meredakan amarah yang membuak di dada?
Hakikatnya tiada siapa yang menang dalam sebuah tragedi berdarah. Hanya tinggal penyesalan.
Setiap insan tahu bahawa membunuh adalah dosa besar di sisi agama dan juga kesalahan berat di sisi undang-undang.
Namun, ianya seolah-olah tidak lagi mampu mencegah tangan manusia daripada bertindak kejam.
Mengapa hal ini terjadi?
Hati yang dikuasai amarah dan kebencian tidak lagi mampu mendengar suara iman dan akal.
Mungkin inilah natijah apabila kasih sayang semakin pudar dan nilai kemanusiaan semakin terhakis.
Dunia yang sepatutnya diisi dengan rahmah kini dibanjiri dendam. Sedangkan setiap perselisihan boleh diselesaikan melalui perbincangan dan kesabaran.
Malangnya manusia lebih memilih jalan yang memusnahkan bukan sahaja orang lain tetapi juga diri sendiri.
Sudah sampai masanya kita kembali merenung makna sebenar kehidupan.
Nyawa bukan milik kita untuk diambil sesuka hati. Ia adalah amanah Allah dan setiap titisan darah yang tumpah tanpa hak pasti akan dipersoalkan.
Marilah kita menanam kembali sifat kasih sayang, empati dan keinsafan dalam diri serta keluarga. Apabila hati dipenuhi kasih dan ihsan tiada ruang lagi untuk kebencian tumbuh apatah lagi membunuh.
Beberapa faktor yang sering dikaitkan dengan fenomena ini.
Tekanan hidup, masalah kewangan, konflik rumah tangga serta kurangnya kemahiran mengurus emosi boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan.
Apabila kasih sayang, empati dan hormat terhadap nyawa hilang, manusia mudah bertindak kejam tanpa memikirkan akibat.
Pengaruh dadah, alkohol atau dendam. Banyak kes jenayah berlaku dalam keadaan pelaku tidak waras atau dikuasai oleh bahan terlarang dan emosi.
Kelemahan hubungan sosial dan keagamaan. Kurangnya didikan agama serta renggangnya ikatan kekeluargaan boleh menyebabkan manusia hilang panduan moral.
Kesemua faktor ini menunjukkan bahawa masalah pembunuhan bukan sekadar isu jenayah tetapi juga krisis kemanusiaan dan spiritual.
Apabila hati manusia gelap dan dipenuhi kebencian maka pertimbangan akal dan nurani seolah-olah terpadam.
Kita tidak akan dapat membina masyarakat yang aman selagi hati-hati manusia terus dipenuhi dendam.
Mulakan perubahan itu dengan diri sendiri semai kasih, sebarkan ihsan dan hargai setiap nyawa.

Comments
Post a Comment