Che kak tak faham kenapa sanggup memalsukan maklumat semata-mata untuk mendapatkan bantuan.
Rasa kecewa dan penat melihat perkara sama berulang. Lebih perit bila kita berada di barisan hadapan, melihat sendiri bagaimana bantuan yang sepatutnya mengangkat hidup seseorang akhirnya disalah guna atau diperoleh melalui maklumat yang tidak benar.
Perkara pertama maklumat pendapatan. Ada yang sebenarnya cukup untuk keperluan asas tapi sanggup menulis pendapatan rendah yang tak masuk akal. Secara logik, apa yang mereka isytihar langsung tak seimbang dengan cara perbelanjaan yang kami lihat sendiri.
Maklumat anak-anak. Ada yang mengaku anak bekerja gaji B40 walhal anak sudah berkerjaya dengan pendapatan jauh lebih tinggi.
Tak terfikirkah bahawa menipu tentang hal ini seolah-olah mendoakan anak benar-benar hidup dalam keadaan biasa-biasa dan berpendapatan rendah?
Maklumat perkahwinan. Ada yang mengaku ibu tunggal walhal sudah berkahwin lain semata-mata takut bantuan ditamatkan.
Sedangkan berkahwin di negara jiran tetapi tidak didaftarkan di Malaysia hanya mengundang masalah jangka panjang. Jika suami baru berkemampuan, apa sebenarnya yang nak ditakutkan?
'Menipu' bunyinya kasar. Tapi memberi maklumat tidak benar menjadikan rezeki yang diterima tidak berkat dan darah daging itu tetap akan dihisab kelak.
Che kak bukanlah pakar mengorek maklumat. Kami hanya bergantung pada sesi temubual dan kejujuran penerima. Bila ada yang mengambil kesempatan kami sendiri rasa sangat terkilan.
Lebih menyedihkan bantuan yang diberi tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Gunakanlah bantuan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak supaya mereka lebih selesa belajar, tidak ke sekolah dalam keadaan lapar dan terurus dengan makanan berkhasiat. Itu tujuan asal bantuan diberi.
Tapi selepas dapat bantuan, ada pula yang berhenti bekerja kerana mula rasa selesa dengan duit bantuan bulanan.
Bahkan ada juga yang menggunakan bantuan untuk bayar ansurans motor idaman berharga belasan ribu. Untuk apa sebenarnya?
'Miskin minda' memang sukar dibantu walaupun bantuan diberi untuk meringankan beban. Kadang-kadang kemiskinan sebenar bukan pada duit tetapi pada cara berfikir.
Paling membuatkan rasa geram bila warga emas diberi bantuan untuk meringankan beban anak-anak yang susah tetapi akhirnya duit orang tua itu pula ‘dipaw’ oleh anak sendiri. 🤦

Comments
Post a Comment