Apabila temubual bersama warga emas di kampung mengenai anak-anak mereka, sering kedengaran jawapan seperti, “Anok takdok kijo kerajae sore habuk.”
Ungkapan ini menggambarkan kepercayaan lama dalam masyarakat bahawa hanya anak yang bekerja kerajaan sahaja dianggap berjaya, senang dan mampu menyara ibu bapa.
Namun persoalannya adakah benar hanya pekerjaan kerajaan menjadi ukuran kesenangan dan kejayaan seseorang anak?
Pandangan bahawa kerja kerajaan membawa jaminan hidup yang senang telah lama berakar dalam pemikiran masyarakat.
Pada suatu ketika dahulu peluang pekerjaan sangat terhad dan bekerja dengan kerajaan dianggap stabil, bergaji tetap serta mempunyai pencen.
Maka tidak hairanlah pekerjaan ini dipandang tinggi dan dijadikan kebanggaan keluarga, khususnya oleh ibu bapa di kampung.
Anak yang bekerja kerajaan sering dianggap sudah berjaya dan tidak perlu dirisaukan lagi.
Namun realiti kehidupan hari ini menunjukkan gambaran yang berbeza.
Ramai penjawat awam sebenarnya dibebani dengan pelbagai komitmen bulanan.
Kemudahan membuat pinjaman bank yang mudah menyebabkan ramai terikat dengan hutang rumah, kereta dan pelbagai barangan keperluan. Ditambah pula dengan potongan insurans, koperasi dan ansuran lain.
Gaji yang kelihatan besar di dalam epenyata gaji sering kali menjadi kecil apabila sampai ke hujung bulan.
Akibatnya ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu membantu ibu bapa secara konsisten walaupun bekerja dalam sektor yang dianggap ‘senang’.
Sebaliknya, anak-anak yang bekerja dalam sektor swasta, berniaga kecil-kecilan atau bekerja kampung sering dipandang rendah.
Mereka dianggap tidak stabil, tidak bergaji besar dan tidak mempunyai masa depan yang cerah.
Hakikatnya, ramai dalam kalangan mereka yang mempunyai pendapatan lebih baik, hidup tanpa hutang dan menjalani kehidupan yang lebih tenang.
Ada yang mampu membantu ibu bapa secara berterusan kerana perbelanjaan hidup yang lebih rendah dan tiada komitmen kewangan yang membebankan.
Kesenangan hidup sebenarnya tidak bergantung kepada seseorang itu bekerja tetapi bagaimana pendapatan itu diuruskan.
Pendapatan yang sederhana tetapi diurus dengan baik mampu memberikan ketenangan dan kebahagiaan yang lebih besar berbanding gaji tinggi yang habis untuk membayar hutang.
Lebih penting daripada jumlah wang ialah sikap tanggungjawab, keprihatinan dan kesanggupan anak untuk menjaga kebajikan ibu bapa.
Oleh itu, masyarakat khususnya golongan ibu bapa perlu mengubah cara pandang terhadap kejayaan anak-anak.
Janganlah menilai hanya berdasarkan pekerjaan, jawatan atau kenderaan yang dimiliki.
Anak yang tidak bekerja kerajaan, tidak berkereta mahal tetapi sentiasa membantu dan berbakti kepada ibu bapa sebenarnya jauh lebih baik dari segi nilai kemanusiaan.
Ingat deh mokcik, kerja kerajaan bukanlah satu-satunya jalan menuju kesenangan hidup. Setiap pekerjaan adalah mulia selagi dilakukan dengan jujur.
Rezeki Allah itu luas dan datang dalam pelbagai bentuk. Maka janganlah memandang sebelah mata kepada anak-anak yang memilih jalan hidup berbeza.
Kejayaan sebenar ialah ketenangan dan keikhlasan berbakti bukan semata-mata status pekerjaan.

Comments
Post a Comment