Bertahun-tahun hidup dalam keganasan rumah tangga dipukul, dihina dan hidup dalam ketakutan, kisah sebegini memang mudah meruntun hati sesiapa sahaja.
Lebih-lebih lagi apabila yang terlibat ialah seorang ibu dengan anak-anak kecil, hidup dengan sumber pendapatan yang hampir tiada.
Apabila ada insan baik hati tampil membantu, menguruskan permohonan bantuan selepas suami dipenjarakan, niatnya satu supaya kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik.
Temu bual demi temu bual dijalankan dengan linangan air mata.
Cerita yang didengar cukup untuk membuatkan sesiapa pun percaya bahawa bantuan itu benar-benar diperlukan.
Namun, realiti selepas bantuan diterima tidak selalu seindah yang diharapkan.
Ada penerima yang berubah sikap bukan ke arah berdikari tetapi sebaliknya.
Bantuan bulanan yang sepatutnya digunakan untuk keperluan asas dan kebajikan anak-anak tidak dimanfaatkan sebaiknya.
Makanan berkhasiat bukan keutamaan. Keperluan harian dipandang sepi.
Sebaliknya, wang bantuan digunakan untuk perkara yang jelas bukan keperluan seperti ansuran motor idaman berharga belasan ribu, rokok dan perbelanjaan yang tidak membawa sebarang nilai jangka panjang.
Di sinilah timbul persoalan yang membuatkan hati rasa geram. Kenapa tidak beramanah?
Bantuan bukan hak mutlak individu. Ia adalah amanah bukan sahaja kepada pemberi bantuan tetapi juga kepada anak-anak yang bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk kelangsungan hidup mereka.
Tidak dinafikan, kemiskinan jangka panjang dan trauma boleh mengubah cara seseorang membuat keputusan.
Ada yang hidup terlalu lama dalam mod “survive hari ini”, sehingga gagal melihat keperluan esok. Membeli barangan idaman dianggap peluang yang jarang datang.
Namun, apabila duit belanja sekolah anak diketepikan demi rokok dan motorsikal idaman si bapa, di situlah amanah mula dipersoalkan.
Tidak mustahil suatu hari nanti, borang permohonan bantuan akan mempunyai kotak kecil untuk ditanda merokok atau tidak merokok.
Ini kerana apabila amanah sering dikhianati, saringan bantuan pasti akan menjadi lebih ketat.
Dan ketika itu, yang paling terkesan bukan mereka yang tidak beramanah tetapi golongan miskin yang benar-benar jujur, berusaha dan memerlukan turut terkena tempiasnya.
Hakikatnya, bantuan kewangan semata-mata tidak cukup untuk membentuk sifat manusia tanpa bimbingan, pendidikan nilai dan pemantauan yang wajar.
Hari ini, media sosial menjadi medan utama untuk meminta bantuan.
Setiap hari ada kisah sedih dan cerita yang disusun rapi untuk meraih simpati penderma.
Tidak dinafikan, sebahagiannya benar ada yang benar-benar terdesak dan memerlukan pertolongan.
Namun, semakin ramai juga yang tanpa segan silu menokok tambah cerita, memutar naratif dan memperindahkan kesengsaraan demi mendapatkan sumbangan.
Apabila perbuatan ini berulang dan menjadi budaya, kesannya sangat besar bukan sahaja kepada penderma tetapi kepada masyarakat keseluruhannya.
Kepercayaan adalah asas kepada amalan membantu. Apabila kepercayaan ini dikhianati, masyarakat akan mula berhati-hati, curiga dan akhirnya memilih untuk tidak membantu langsung.
Golongan yang paling merugikan ialah golongan susah yang benar-benar memerlukan kerana mereka terpaksa menanggung akibat perbuatan orang lain.
Budaya meminta tanpa rasa malu dan tanpa rasa amanah ini perlahan-lahan menghakis nilai maruah.
Bantuan dilihat sebagai hak yang boleh dituntut melalui simpati.
Lebih membimbangkan masyarakat akan mempersoalkan setiap kisah sedih yang dipaparkan walaupun ia benar.
Setiap permohonan akan dinilai dengan prasangka.
Membantu orang susah adalah nilai murni yang tidak sepatutnya dicemari dengan syak wasangka.
Namun, bantuan yang tidak berlandaskan kejujuran dan amanah hanya akan merosakkan ekosistem kebajikan itu sendiri.
Jika budaya ini tidak dibendung, suatu hari nanti bukan sahaja penderma akan berhenti memberi malah orang susah yang benar-benar layak juga akan ketinggalan.
Comments
Post a Comment