Filem Haq dan Perjuangan Shazia Bano

Che kak berkesempatan tonton Filem Haq sebuah filem dari India kerana suka dengan cerita based on a true story.


Kisah penghakiman Mahkamah Agung pada tahun 1985 antara Mohd. Ahmed Khan lwn Shah Bano Begum yang menangani isu perkahwinan rumahtangga Muslim.



Melalui hujah dan kesaksian di mahkamah filem ini mengkaji bagaimana sistem perundangan mentafsir hak wanita dalam rangka undang-undang agama dan sivil.


Mengangkat watak utama Shazia Bano seorang wanita Muslim yang menjadi mangsa penindasan rumah tangga dan penceraian secara talaq tiga.


Pada awal cerita, Shazia digambarkan sebagai seorang isteri yang taat, sabar dan patuh kepada suami serta adat masyarakat.


Namun kehidupannya berubah apabila suaminya mula menafikan haknya sebagai isteri.


Apabila Shazia mula mempertahankan dirinya dan menuntut keadilan di mahkamah, suaminya berasa tercabar dan menganggap tindakan tersebut sebagai penderhakaan.


Akibat ego dan sikap dominasi suaminya menjatuhkan talaq tiga secara tergesa-gesa untuk menghukum dan menutup mulut isterinya.


Perceraian tersebut membawa kesan yang besar kepada Shazia. 


Dia mengalami tekanan perasaan, trauma dan rasa terhina.


Shazia turut dipandang serong oleh masyarakat dan sering dipersalahkan walaupun dia merupakan mangsa.


Selain itu, dia turut menghadapi masalah kewangan kerana tidak diberikan nafkah dan terpaksa menanggung kos sara hidup serta guaman.


Dalam cerita ini, bapa Shazia memainkan peranan yang sangat penting iaitu sentiasa memberi sokongan moral, emosi dan kepercayaan kepada Shazia.


Beliau percaya bahawa anaknya berada di pihak yang benar dan berhak mempertahankan maruah serta haknya.


Sokongan bapa Shazia menjadi sumber kekuatan yang mendorong Shazia supaya tidak berputus asa dan terus memperjuangkan keadilan melalui saluran undang-undang.


Namun, sokongan tersebut turut membawa kesan negatif terhadap bapa Shazia.


Beliau menerima tekanan daripada masyarakat, dikritik kerana menyebelahi anak perempuannya dan dituduh mencemarkan maruah keluarga.


Walaupun berdepan cemuhan dan pandangan serong, bapa Shazia tetap teguh mempertahankan anaknya.


Sikap ini menunjukkan keberanian seorang bapa yang meletakkan kebenaran dan keadilan melebihi tekanan masyarakat.


Walaupun telah ditalaq tiga, Shazia tetap layak menuntut nafkah anak-anaknya kerana tanggungjawab memberi nafkah adalah kewajipan bapa dan tidak gugur akibat perceraian.


Namun, suaminya enggan menjalankan tanggungjawab tersebut.


Oleh itu, Shazia terpaksa membawa kes ini ke mahkamah demi mempertahankan hak anak-anaknya.


Proses mahkamah yang dilalui Shazia mengambil masa yang lama dan penuh cabaran.


Kes ini melalui beberapa peringkat mahkamah kerana keputusan awal sering dicabar oleh pihak suami.


Akhirnya, kes tersebut dibawa ke Mahkamah Agung kerana ia melibatkan isu besar seperti penyalahgunaan talaq tiga, hak nafkah anak dan perlindungan wanita Islam.


Kes ini bukan lagi isu peribadi tetapi isu kepentingan awam yang memberi kesan kepada masyarakat keseluruhannya.


Akhirnya, Shazia berjaya memenangi kes tersebut.


Kesimpulannya, filem Haq memberi pengajaran bahawa wanita tidak seharusnya berdiam diri apabila dizalimi.


Sokongan keluarga khususnya peranan seorang bapa amat penting dalam memperkukuh semangat perjuangan wanita.


Filem ini juga menegaskan bahawa talaq tidak boleh disalahgunakan, anak-anak tidak boleh dinafikan hak mereka dan keadilan perlu diperjuangkan dengan kesabaran, keberanian serta sokongan orang tersayang.


Sebagai kesan daripada konflik ini, anak-anak turut menjauhkan diri daripada bapa mereka. 


Jangan salahkan bekas isteri kerana anak-anak juga melihat kezaliman bapanya walaupun tidak bersuara. 


Menariknya, isteri kedua kepada suami Shazia sendiri menasihati agar nafkah ditunaikan kerana hanya 400 rupee yang diminta namun ego dan keangkuhan lelaki tersebut mengatasi kewajipan dan belas ihsan.


Shazia juga turut memberi penekanan terhadap konsep Iqra’.


Ia menegaskan bahawa wanita perlu berilmu, memahami hak mereka dan tidak menerima penindasan atas nama agama tanpa ilmu. 


Kejahilan sering menjadi alat penindasan dan Iqra’ menjadi simbol kebangkitan, kesedaran serta keberanian untuk melawan kezaliman dengan ilmu dan kefahaman.




Comments