Setiap kali isu kemasyarakatan seperti pengabaian warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak atau keluarga miskin tular di media sosial, reaksi masyarakat sering bersifat emosional dan saling menyalahkan.
Ada yang menuding keluarga, ada yang mempersoalkan agensi kerajaan dan tidak kurang juga yang menyasarkan wakil rakyat.
Namun realitinya, isu kemasyarakatan jarang berpunca daripada satu faktor atau satu pihak semata-mata.
Ia berpunca daripada pelbagai cabaran seperti kemiskinan, masalah kesihatan mental, kerapuhan institusi keluarga serta kekangan sistem sokongan sosial yang sedia ada.
Oleh itu, penyelesaiannya juga tidak mungkin digalas oleh satu pihak sahaja sebaliknya menuntut kerjasama menyeluruh antara keluarga, komuniti, agensi kerajaan dan kepimpinan setempat.
Menyalahkan mana-mana pihak tidak akan membawa kepada penyelesaian jangka panjang.
Banyak kes yang dilaporkan menunjukkan bahawa keluarga sendiri bergelut dengan tekanan kewangan, kekurangan pengetahuan tentang penjagaan atau masalah dalaman yang tidak kelihatan di mata umum.
Dalam keadaan tertentu, mereka juga tidak tahu ke mana harus mendapatkan bantuan atau berasa takut untuk tampil ke hadapan.
Dalam masa yang sama, agensi berkaitan pula terikat dengan prosedur operasi standard (SOP), keperluan dokumentasi serta kekangan sumber manusia.
Keadaan ini sering menyebabkan bantuan tidak dapat disalurkan dengan segera walaupun keperluan telah dikenal pasti.
Walaupun faktor-faktor ini tidak wajar dijadikan alasan, ia wajar difahami sebagai sebahagian daripada realiti sistem yang perlu diperbaiki secara berperingkat.
Persoalan yang lebih penting bukanlah siapa yang patut dipersalahkan tetapi bagaimana sistem boleh diperkukuh agar tindakan pencegahan dan bantuan awal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Hakikatnya, banyak kes hanya mendapat perhatian serius selepas ia tular sekali gus mendedahkan kelemahan dalam mekanisme pengesanan awal di peringkat komuniti.
Di sinilah peranan masyarakat setempat, pemimpin komuniti dan pihak berautoriti menjadi sangat penting.
Mereka yang mengetahui lebih awal tentang sesuatu isu seharusnya berupaya bertindak segera, menyelaras bantuan serta memendekkan jurang birokrasi supaya bantuan sampai tepat pada masanya kepada golongan yang memerlukan.
Isu kemasyarakatan bukan medan untuk dipolitikkan atau dijadikan bahan saling menyalahkan.
Ia menuntut kepekaan, rasa tanggungjawab bersama dan kesediaan untuk bekerjasama.
Hanya dengan pendekatan yang lebih empati, sistematik dan kolaboratif, barulah kebajikan golongan terkesan dapat dilindungi dengan lebih bermakna.
#gambarhiasan


Comments
Post a Comment