Hari ini, kita sekali lagi dikejutkan dengan dua berita tangkapan oleh SPRM berkaitan penyelewengan dana sumbangan.
Perkembangan ini menambahkan kebimbangan terhadap kelemahan tadbir urus NGO yang berasaskan kutipan derma.
Bagaikan tiada titik noktah, isu NGO berasaskan sumbangan orang ramai yang terlibat dalam penyelewengan dana terus berulang.
Keadaan ini menjadi lebih memalukan apabila melibatkan NGO yang berlatarkan nilai Islamik, sedangkan prinsip amanah dan integriti seharusnya menjadi teras utama.
Sudah tiba masanya garis panduan diperketat dan diperkasakan bagi memastikan pemantauan serta audit terhadap dana yang diterima dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.
NGO juga perlu bersikap lebih telus dengan membentangkan secara terbuka jumlah kutipan dan perbelanjaan.
Dalam masa yang sama, masyarakat dan penderma perlu lebih berhati-hati.
Sumbangan yang diberikan tanpa maklumat dan pemantauan yang jelas berisiko tidak mencapai matlamat membantu malah boleh membawa kesan yang lebih buruk.
Antara risiko utama ialah penyelewengan dan salah guna dana.
Tanpa ketelusan dana yang dikutip atas nama kebajikan boleh disalurkan kepada tujuan peribadi, kos pentadbiran berlebihan atau aktiviti yang menyimpang daripada niat asal penderma.
Keadaan ini bukan sahaja menafikan hak golongan memerlukan malah mengkhianati kepercayaan awam.
Selain itu, matlamat bantuan mungkin tidak tercapai atau tersasar.
Penderma berniat membantu asnaf, pendidikan, kesihatan atau mangsa bencana namun tanpa laporan yang jelas, tiada jaminan bantuan benar-benar sampai kepada sasaran yang sepatutnya.
Isu penyelewengan juga merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap NGO yang jujur dan amanah.
Apabila kes sebegini berulang, kesannya tidak terhad kepada NGO terbabit sahaja sebaliknya menjejaskan reputasi keseluruhan sektor kebajikan.
Akibatnya, masyarakat menjadi ragu-ragu dan enggan membantu walaupun keperluan sebenar masih mendesak.
Dari sudut moral dan agama implikasinya lebih besar.
Bagi penderma Muslim, sumbangan adalah amanah malah sebahagiannya melibatkan zakat, wakaf dan sedekah.
Penyalahgunaan dana bukan sekadar isu tadbir urus tetapi juga persoalan tanggungjawab moral dan dosa pengkhianatan amanah.
Tiada akauntabiliti tanpa semakan awam. Ketelusan melalui laporan kewangan, audit bebas dan pendedahan maklumat membolehkan masyarakat berperanan sebagai mekanisme check and balance.
Tanpanya, NGO akan terus beroperasi tanpa tekanan untuk memperbaiki tadbir urus dan integriti.
Penderma berhak tahu ke mana wang mereka disalurkan.
Sumbangan bukan sekadar memberi tetapi memastikan bantuan itu berkesan, berintegriti dan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Kesimpulannya, masyarakat yang peka akan memaksa NGO menjadi lebih telus, berakauntabiliti dan akhirnya benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

Comments
Post a Comment