Tajuk Cerpen : Minah Kilang: Ada Apa Pada Asrama

Selepas tamat pengajian di universiti, aku tidak memilih kerja. Apa sahaja yang ada, aku cuba. Rezeki pertama yang datang ialah bekerja di sebuah kilang. Hanya empat bulan aku di sana, tetapi pengalaman itu terasa panjang, penuh warna dan cerita.


Aku bekerja secara syif. Gaji harian cuma RM40, dan kalau buat kerja lebih masa, dapatlah RM55. Tidak banyak, tetapi cukup untuk aku belajar berdikari. 



Pihak kilang menyediakan asrama sebuah rumah kedai. Penghuninya ramai, hampir sepuluh orang dalam satu rumah. Kebanyakannya berasal dari Sxxxx dan ada juga yang aku syak bukan warga tempatan. Wajah mereka cantik, persis pelakon drama Filipina.


Hari pertama aku sampai, perkara pertama yang aku cari ialah arah kiblat. Aku bertanya, tetapi tiada siapa yang tahu. Aku berdiri memandang langit, mencari arah matahari sambil berdoa dalam hati agar diberi petunjuk. Dengan yakin yang tipis, aku dirikan solat. Tidak lama kemudian, seorang makcik dari Sabah yang baru pulang kerja menunjukkan arah kiblat sebenar. Aku tersenyum sendiri nasib baik tidak jauh tersasar.


Walaupun tinggal beramai-ramai, aku lebih selesa memasak sendiri. Nasi putih dan telur goreng sudah cukup. Jarang sekali aku makan di kantin kilang. 


Di asrama itu juga, aku rapat dengan seorang gadis dari Kelantan. Setiap kali gaji diterima, habis dibelanjakan dalam sehari entah ke mana. Hari berikutnya, dia berlapar. Bukan puasa, tetapi tiada makanan.


Aku sering membebel, memberi nasihat, tetapi dalam masa yang sama tetap mengajaknya makan bersama. Aku takut jika sesuatu terjadi padanya kerana kelaparan. Lucunya, walaupun lapar, dia masih sempat mengkritik masakanku.

“Masinnya sambal ni,” katanya.

Aku hanya geleng kepala. Dalam hati terdetik, dah lapar pun masih cerewet.


Rupa-rupanya, setiap bulan dia membeli telefon baru. Itulah sebab wangnya cepat habis. Namun di sebalik sikapnya itu, dia seorang yang baik. Kami sering berbual, berkongsi cerita dan kadang-kadang saling memberi semangat. Kami berdua sahaja orang Kelantan di situ, jadi ada rasa dekat yang sukar dijelaskan.


Suatu hari, aku bertanya mengapa dia tidak pernah pulang ke kampung walaupun ada keluarga. Dia diam. Aku terus memujuk hingga akhirnya dia menunjukkan gambar ayahnya. Tanpa berfikir panjang, aku terlepas kata.


“Macam orang jahat ayah awak…”


Aku segera meminta maaf. Dia hanya mengangguk perlahan, lalu berkongsi sedikit kisah silamnya cukup untuk aku faham bahawa tidak semua orang yang jauh dari keluarga itu derhaka. Ada luka yang mereka cuba tinggalkan.


Namun, hidup di asrama tidak selalu tenang. Pernah satu ketika, seorang penghuni lain berkata sinis ketika melihat aku bersolat.


“Solat pun belum tentu baik. Saya tak solat, tapi saya orang baik dan beriman.”


Aku hanya diam. Tidak guna berdebat.


Kemuncak kesabaranku diuji apabila dia mengunci pintu bilik air dan enggan memberi kunci. Aku mengetuk, meminta dengan baik, tetapi tidak dilayan. Pintu itu tebal, berkunci tombol bukan mudah untuk dibuka.


Entah dari mana datangnya kekuatan, aku menendang pintu itu berkali-kali. Akhirnya, tombol tercabut dan pintu terbuka. Aku berdiri tercengang, separuh terkejut dengan tindakanku sendiri.


“Kalau supervisor marah, aku bayar,” bisikku dalam hati.

Nasib baik perkara itu tidak diperbesarkan.


Dalam marah, aku sempat mengugut secara rawak, kononnya aku ada saudara polis yang boleh menangkapnya. Anehnya, wajahnya terus pucat. Saat itu baru aku terfikir mungkin sangkaanku selama ini benar.


Suatu hari dalam bulan puasa, aku ke bilik asrama kawan yang lain. Malam itu sunyi, hanya bunyi kipas berputar perlahan dan nafas penghuni yang keletihan selepas seharian bekerja. Aku tumpang berehat di situ, berbaring di sebelah dua orang kawan.


Entah pukul berapa, aku terjaga. Mungkin kerana terasa gerakan di sebelah, atau mungkin juga kerana naluri yang tidak sedap hati. Dalam samar cahaya, aku terpandang sesuatu yang membuatkan aku kaku.


Mereka terlalu rapat. Bukan seperti biasa. Aku terus bangun, rasa marah dan tidak selesa bercampur dalam dada.


“Eh, korang ni dah kenapa?”

suaraku separuh berbisik, separuh menahan geram.


Mereka terkejut. Suasana terus jadi janggal. Aku cepat-cepat bangun dari tempat itu. Hati aku rasa tidak tenteram. Bukan sekadar marah tapi juga kecewa. Aku tidak sangka perkara begitu berlaku di depan mata, lebih-lebih lagi dalam bulan yang sepatutnya dipenuhi dengan menahan diri dan memperbaiki diri.

Aku tarik nafas panjang. 


Hidup di asrama ini, rupa-rupanya bukan setakat lapar dan penat yang perlu ditahan. Ada juga perkara-perkara yang menguji prinsip dan batas diri.


Malam itu, aku memilih untuk diam… tapi dalam hati, aku tahu aku tak boleh biasakan diri dengan semua yang aku lihat.


Empat bulan berlalu begitu sahaja. Penat, marah, lucu, sedih semuanya bercampur. Pengalaman itu mengajar aku tentang kehidupan, tentang manusia dan tentang betapa sukarnya mencari rezeki.

Kadang-kadang aku terfikir, alangkah baiknya jika semua orang termasuk mereka yang berada di atas merasai sendiri kehidupan seperti ini. Barulah mereka benar-benar faham erti perjuangan.


Nota: 

Kisah dan watak dalam penceritaan ini telah diolah berdasarkan pengalaman sebenar, namun sebahagian nama, tempat dan situasi telah diubah bagi menjaga privasi individu yang terlibat.


#kisahmasyarakat

#diarihasliza


Comments