Tajuk Cerpen : Pahala Terakhir

Berita dalam akhbar itu ringkas, tetapi cukup untuk membuat dada Far terasa berat.


"Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya. Bersamanya, seorang anak kecil."


“Far, ready duit TBS. Kita pergi ziarah isteri arwah,” kata Kak Lina, tenang seperti biasa, walaupun matanya jelas menyimpan simpati.


Far hanya mengangguk. Begitulah rutin mereka. Setiap kali berita seperti ini tersiar, mereka akan menyantuni mangsa bukan sekadar membawa bantuan, tetapi juga memikul kisah-kisah yang sering kali lebih berat daripada yang mampu diluahkan.


Dalam perjalanan, tiada siapa banyak bercakap. Mereka sudah biasa dengan kesedihan, tetapi tidak pernah benar-benar kebal terhadapnya.


Sampai di rumah itu, suasana sunyi menyambut mereka. Hanya bunyi esakan perlahan dari dalam rumah yang memecah kesunyian.


Si balu duduk bersandar di dinding, tubuhnya kecil seolah-olah direnggut sebahagian jiwanya. Wajahnya masih muda, masih cantik, tetapi jelas dicalari duka yang dalam. Di sisinya, beberapa ahli keluarga cuba menenangkan, namun kata-kata mereka seperti tidak sampai.


Far duduk perlahan di hadapannya.


“Puan, kami datang ziarah,” katanya lembut.


Wanita itu mengangkat wajah. Matanya merah, bengkak. Dia cuba tersenyum, tetapi gagal.


“Dia keluar… masih marah,” suaranya bergetar. “Saya ingat dia cuma nak tenangkan diri.”


Far menelan liur. Dia pernah dengar kisah seperti ini, tetapi setiap kali, rasa pedihnya tetap sama.


“Dia bawa baju… sikit saja, letak dalam plastik,” sambung wanita itu, kini air matanya jatuh tanpa mampu ditahan. 


“Anak ikut dia. Saya tak sempat halang.”


Sejenak, ruang itu dipenuhi tangisan. Tiada siapa menyalahkan kerana semua tahu pertengkaran itu biasa. Merajuk itu biasa. Keluar rumah untuk menenangkan diri juga biasa.


Yang luar biasa… adalah apabila itu menjadi kali terakhir.


Far memandang wanita itu lama. Dia melihat bukan sekadar seorang balu, tetapi seorang manusia yang akan hidup dengan satu soalan yang tidak akan pernah terjawab. Kalaulah aku tahan dia…


Dalam perjalanan pulang, Far memandang keluar tingkap. Jalan raya terbentang panjang, kenderaan berlalu seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku.


“Kita selalu fikir ada masa,” kata Kak Lina perlahan, memecah kesunyian.


Far mengangguk, walaupun matanya masih terpaku ke luar.

Ada pertengkaran yang boleh diperbaiki. Ada kata-kata yang boleh ditarik semula.

Tetapi ada juga saat… yang jika terlepas, akan menjadi penyesalan seumur hidup.


Dan hari itu, Far belajar sesuatu yang tidak pernah diajar dalam buku laporan sosial. Jangan sesekali meninggalkan orang yang kita sayang dalam keadaan marah.

Kerana kita tidak pernah tahu, sama ada itu adalah perpisahan sementara… atau yang terakhir.



Nota: 

Kisah dan watak dalam penceritaan ini telah diolah berdasarkan pengalaman sebenar, namun sebahagian nama, tempat dan situasi telah diubah bagi menjaga privasi individu yang terlibat.


#kisahmasyarakat

#diarihasliza

Comments