Pada suatu petang, ketika berada di dalam biliknya sambil menanti waktu berbuka puasa, Iffa termenung melihat gambar-gambar rakan kenalannya yang sedang menunaikan umrah.
Tiba-tiba, hatinya disapa rindu. Rindu pada saat-saat ketika dia sendiri pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Segalanya masih segar dalam ingatannya. Ramadan hampir melabuhkan tirainya. Di bumi penuh keberkatan itu, setiap detik terasa begitu berharga seolah-olah masa berjalan lebih pantas daripada biasa.
Namun bagi Iffa, perjalanan itu meninggalkan satu keinginan yang belum tertunai untuk menjejakkan kaki dan bersolat di Raudhah, taman syurga yang sering didengar keistimewaannya.
Hari kepulangan semakin hampir. Rombongan sudah bersiap sedia untuk pulang ke Malaysia. Suasana di hotel dipenuhi kesibukan. Beg dikemas, suara memanggil sesama ahli rombongan bersahut-sahutan.
Namun di satu sudut bilik, Iffa duduk sendirian. Hatinya terasa berat. Impian kecilnya masih belum tercapai.
Dengan sisa harapan yang ada, dia bangun mengambil wuduk. Ditegakkan solat Taubat, diikuti solat Hajat. Dalam sujudnya yang panjang, dia merintih penuh pengharapan.
“Ya Allah… izinkan aku walau sekali sahaja bersolat di taman syurga-Mu.”
Air mata menitis tanpa dipaksa. Hatinya benar-benar berserah dan seperti janji-Nya Dia Maha Mendengar.
Ketika waktu semakin suntuk, saat ramai menyangka peluang itu telah tertutup, tiba-tiba Iffa diberi ruang. Dalam keadaan tergesa-gesa, dia melangkah menuju Raudhah menyelinap masuk di saat-saat terakhir sebelum pintu ditutup. Namun perjalanan itu bukan mudah.
Keadaan terlalu sesak. Kumpulan demi kumpulan wanita berebut untuk masuk. Tolakan dan himpitan berlaku tanpa henti. Nafas Iffa menjadi sesak, langkahnya semakin tidak teratur. Tubuh kecilnya akhirnya tidak mampu bertahan, dia terjatuh.
Sakit menjalar ke seluruh badan. Dalam keadaan lemah, dia hanya mampu melaung, “Allahu Akbar… Allahu Akbar…”
Di tengah kekalutan itu, tiba-tiba satu tangan menggapainya. Seorang pengawal wanita Arab menariknya bangun. Tanpa sempat berfikir panjang, Iffa segera melangkah masuk.
Air matanya tidak berhenti mengalir. Hatinya dipenuhi rasa syukur dan sebak yang bercampur-baur.
Tiba-tiba, muncul seorang gadis yang sangat cantik di hadapannya. Wajahnya tenang, senyumannya mendamaikan. Tanpa sepatah kata, gadis itu memeluk Iffa erat, lalu mencium pipinya.
Pelukan itu terasa begitu lembut…menenangkan… seolah-olah membawa kedamaian yang sukar digambarkan.
Belum sempat Iffa berkata apa-apa, gadis itu menghilang di celah lautan manusia. Iffa terpaku seketika.
Namun pandangannya segera tertumpu pada hamparan karpet hijau di hadapan, Raudhah.
Walaupun ruang sangat sempit, entah bagaimana Allah membukakan sedikit ruang untuknya. Cukup untuk berdiri. Cukup untuk sujud. Dengan penuh khusyuk, Iffa mengangkat takbir. Empat rakaat. Dua salam.
Dalam hati yang dipenuhi rasa syukur yang tidak terhingga.
Air mata Iffa kembali laju mengalir saat dia melangkah keluar dari Raudhah antara syukur, rindu dan ketenangan yang sukar diungkapkan.
Dia kembali ke hotel. Rombongan sudah hampir bersedia untuk berangkat. Suasana kembali sibuk seperti sebelumnya. Namun kali ini, Iffa hanya tersenyum. Hatinya tenang. Bahagia. Kerana dia tahu doanya telah dimakbulkan. Doa kecil… yang nilainya terlalu besar.
Dalam diam, dia berdoa di dalam hati,
“Ya Allah, izinkan aku kembali ke sini suatu hari nanti… dan kurniakan juga peluang ini kepada mereka yang merindui-Mu.” 🤲
#diarihasliza

Comments
Post a Comment