Tajuk: Kenangan di Bilik PK HEM

Masih segar dalam ingatan, walaupun masa telah lama berlalu.

Ketika itu, aku baru darjah enam. Hari itu, entah angin apa yang datang, aku bergaduh dengan dua orang budak lelaki sekelas. Nama mereka sudah kabur ditelan waktu, begitu juga punca pergaduhan. Yang tinggal hanyalah rasa tegang dan debaran yang menyusul selepasnya.


Kami bertiga dipanggil menghadap PK HEM. Langkah terasa berat saat melangkah masuk ke bilik itu. Namun, suasana yang dijangka tegang rupanya tenang. PK HEM tidak terus menghukum. Beliau mendengar satu persatu penjelasan kami, dengan wajah yang sabar dan mata yang memahami.

Selepas itu, beliau menasihati kami.

Anehnya, aku tidak lagi mengingati isi nasihat tersebut. Namun cara beliau menyampaikannya sangat lembut, berhemah, tanpa meninggikan suara terpahat kemas dalam ingatan. Tiada herdikan, tiada rasa dipermalukan.

Akhirnya, kami diminta saling memohon maaf.


Sama ada selepas itu kami kembali berkawan atau terus menjauh, aku sendiri tidak pasti. Yang pasti, hari itu, satu konflik kecil telah diselesaikan dengan tenang dan adil.


Namun, tidak semua kenangan membawa rasa yang sama.

Jauh sebelum itu, ketika aku masih di tadika, ada satu peristiwa yang meninggalkan kesan berbeza.


Waktu itu, aku tinggal di kawasan kuarters dan berkawan rapat dengan anak seorang cikgu.

Suatu hari, kami bergaduh. Puncanya remeh tentang skaf rambut, kalau tidak silap.


Keesokan harinya, tanpa diduga, aku dipanggil ke hadapan perhimpunan. Di hadapan semua murid, aku berdiri kaku. Tidak pasti apa yang dikatakan oleh cikgu tersebut ketika itu. Hanya rasa malu yang menyelubungi diri. Rasa kecil. Rasa diperhatikan.


Waktu itu, aku tidak benar-benar memahami apa yang berlaku.

Namun kini, setelah dewasa, barulah aku sedar, itu bukan sekadar teguran. Itu adalah satu bentuk penghinaan yang dilakukan secara terbuka.


Lebih menyedihkan, pergaduhan itu berlaku di luar waktu sekolah di kawasan rumah. Sepatutnya ia diselesaikan secara peribadi, bukan dijadikan tontonan umum.

Kenangan itu masih meninggalkan sedikit luka.


Luka tentang bagaimana kuasa boleh digunakan dengan cara yang tidak sepatutnya, apatah lagi terhadap seorang kanak-kanak kecil yang belum mengerti banyak perkara.


Namun masa mengajar banyak hal.

Kini, aku sudah tidak lagi mudah terusik dengan perkara remeh. Hidup terasa lebih ringan bila tidak semua perkara perlu dilayan.

Kalau ada yang mahu berkawan, aku sambut dengan hati terbuka. Jika tidak, juga tidak mengapa.

Kerana akhirnya, aku belajar satu perkara. Hidup ini jauh lebih indah apabila kita memilih ketenangan daripada kemenangan.



Nota: 

Kisah dan watak dalam penceritaan ini telah diolah berdasarkan pengalaman sebenar, namun sebahagian nama, tempat dan situasi telah diubah bagi menjaga privasi individu yang terlibat.


#kisahmasyarakat

#diarihasliza


Comments