Pagi itu seperti biasa, dia melangkah ke sekolah dengan rambut bertocang dua dan bekas plastik berisi nasi goreng di tangan. Dalam poket baju kurungnya terselit syiling 20 sen, kadang-kadang 50 sen jika bernasib baik. Jumlah kecil itu sudah cukup membuatkan hatinya berbunga sepanjang hari.
Namun, kenangan yang paling kuat melekat bukanlah tentang makanan di kantin atau nilai duit kecil itu. Ia tentang kata-kata ayahnya.
Suatu petang, ayah memanggilnya duduk berdekatan. Di tangannya ada beberapa keping duit kertas satu ringgit. Ayah menunjuk pada nombor-nombor kecil yang tercetak di atasnya.
“Kalau duit ayah hilang,” kata ayah tenang, “ayah tahu hilang kat mana. Kalau orang guna tanpa izin pun, ayah tahu duit itu ada di kedai mana.”
Dia terdiam. Mata kecilnya membulat, cuba memahami. Bagaimana mungkin ayah tahu semua itu? Bagaimana ayah boleh kenal setiap duit?
“Ini nombor siri,” sambung ayah sambil menunjukkan dengan jari. “Ayah ingat semua.”
Dia tidak benar-benar faham. Otaknya yang masih kecil tidak mampu mencerna logik di sebalik kata-kata itu. Tapi sesuatu yang lain meresap perlahan-lahan iaitu perasaan takut. Takut untuk melakukan sesuatu yang salah. Takut melanggar batas yang tidak tertulis. Dan yang paling kuat, takut mengkhianati kepercayaan ayah.
Sejak hari itu, setiap kali dia terlihat dompet terbuka atau duit terbiar, hatinya bergetar. Bukan kerana keinginan untuk mengambil, tetapi kerana teringat kata-kata ayah. Seolah-olah setiap keping duit mempunyai mata yang memerhati.
Hari-hari berlalu. Setiap Jumaat, van pejabat pos datang ke sekolah. Dia menyimpan seringgit demi seringgit. Bukan sekadar belajar menabung, tetapi belajar sesuatu yang lebih besar iaitu amanah.
Dia membesar dengan satu pegangan yang tidak pernah goyah.Jangan ambil yang bukan milik sendiri.
Tahun demi tahun berlalu. Dunia di sekelilingnya berubah. Di kaca televisyen dan di halaman berita media sosial, dia mula melihat kisah-kisah yang membuat hatinya berat. Dana awam yang disalah guna. Sumbangan orang ramai yang tidak sampai kepada yang memerlukan. Ada yang berselindung di sebalik kata-kata agama, memakai jubah kepercayaan, menggunakan nama Tuhan untuk meraih simpati.
Dia termenung.
Bagaimana mereka boleh berani?
Bagaimana tangan yang mengutip derma atas nama kebajikan dan zakat, sanggup mengkhianati amanah itu?
Bukankah setiap sen itu datang dari keikhlasan dan pengorbanan orang lain?
Tiba-tiba, suara ayah seolah-olah kembali bergema di telinganya.
“Kalau duit ayah hilang, ayah tahu…”
Dia tersenyum pahit. Kini dia faham. Bukan ayah yang tahu. Tetapi Allah.
Tiada nombor siri yang perlu dihafal manusia, kerana setiap rezeki, setiap sen, setiap amanah semuanya tercatat. Tidak pernah hilang. Tidak pernah tersilap kira.
Dia melihat dunia dengan mata yang berbeza kini. Pencuri bukan lagi sekadar tangan kecil yang mencuri syiling dari dompet. Tetapi juga mereka yang mengambil berjuta-juta tanpa rasa bersalah. Yang menghalalkan perbuatan dengan alasan. Yang berselindung di sebalik agama, seolah-olah itu perisai.
Namun, dia juga tahu tidak semua yang tersilap itu jahat sejak awal. Ada yang tidak pernah dididik tentang sempadan. Ada yang tidak pernah diajar bahawa amanah itu berat.
Sebab itu, apabila dia melihat kanak-kanak kecil mengambil sesuatu tanpa izin, dia tidak cepat menghukum. Dia memilih untuk mendidik. Kerana dia tahu bagaimana satu ayat kecil dari seorang ayah mampu membentuk seluruh hidup.
Dia memandang sekeping wang kertas di tangannya. Tiada apa yang istimewa pada zahirnya. Hanya nombor siri yang kecil, hampir tidak dipedulikan. Namun di situlah letaknya peringatan bahawa setiap yang dipegang, ada haknya. Setiap yang diambil, ada hisabnya.
Jauh di sudut hatinya, dia berdoa, agar dirinya tidak pernah lupa, bahawa amanah bukan sekadar nilai yang diajar, tetapi tanggungjawab yang akan ditanya.
Nota:
Kisah dan watak dalam penceritaan ini telah diolah berdasarkan pengalaman sebenar, namun sebahagian nama, tempat dan situasi telah diubah bagi menjaga privasi individu yang terlibat.
#kisahmasyarakat
#diarihasliza

Comments
Post a Comment