Menggamit memori melihat mug masa zaman muda. Sampai sekarang masih ada.
Pernah terlintas dalam fikiran kenapa sekarang kita lebih suka guna istilah “warga emas” daripada “orang tua”?
Tak dinafikan, warga emas bunyinya lebih sopan dan sedap didengar seolah-olah kita nak angkat martabat mereka.
Tapi realiti hidup warga emas sebenarnya tak seindah istilah yang kita guna.
Hakikatnya, masih ramai dalam kalangan mereka hidup susah dan terpinggir di usia senja.
Ada yang masih kena bekerja, berniaga kecil-kecilan atau buat kerja buruh semata-mata nak cukup makan dan teruskan hidup selagi jasad bernyawa.
Dalam masa yang sama, mereka juga menghadapi masalah kesihatan yang memerlukan rawatan sepanjang hayatnya.
Bab kewangan pun sama. Tak semua warga emas ada simpanan yang cukup, bahkan duit yang ada terpaksa dicatu dan berkira-kira.
Walaupun ada yang menerima wang daripada KWSP atau dana persaraan lain, jumlah tersebut sering kali tidak mampu menampung keperluan sara hidupnya.
Ada juga yang hilang simpanan sebab tak mahir urus kewangan atau terjebak dengan skim pelaburan yang menipu kononnya jadi semakin kaya.
Tak kurang juga yang guna duit simpanan untuk bantu anak-anak kahwin, baiki rumah sehingga akhirnya mengorbankan kesejahteraan hari tua.
Kalau dulu orang selalu kata anak-anak ni jaminan hari tua.
Kos hidup makin tinggi, anak-anak sendiri pun kadang-kadang struggle juga.
Jadi nak bantu ibu bapa secara konsisten tu memang bukan mudah sehingga anak dalam dilema. Tak bantu takut dikata derhaka.
Akhirnya, ramai warga emas terpaksa berdikari sendiri dengan kudrat yang ada.
Tambahan pula, kos penjagaan di pusat jagaan warga emas yang berkualiti adalah tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh semua.
Keadaan ini menjadikan penjagaan yang selesa sebagai satu kemewahan, bukan hak asas yang mudah dicapai oleh setiap warga.
Kesimpulannya, istilah “warga emas” sememangnya indah dan penuh makna.
Golongan ini bukan sahaja perlu dihormati dari segi bahasa, malah harus dipastikan dapat menjalani kehidupan yang bermaruah, sejahtera dan terpelihara.
Hanya dengan tindakan bersama daripada individu, keluarga, masyarakat dan kerajaan, barulah penghormatan itu benar-benar bermakna.

Comments
Post a Comment