Ada Apa Pada APC?

Che kak terbaca tentang orang yang sudah tidak lagi peduli mengenai APC. Terbaca juga tentang APC yang tiba-tiba dibatalkan kerana memberi laluan kepada orang lain.


Perkongsian sebegitu sebenarnya sangat dekat dengan realiti ramai penjawat awam.


Isu APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) memang sensitif kerana ia bukan sekadar ganjaran kewangan tetapi juga satu bentuk pengiktirafan. 


Apabila melihat orang lain mendapat lebih awal, memang mudah timbul persoalan, “Kenapa bukan aku lagi?”


Che kak sendiri pun bekerja selama 8 tahun sebelum merasai APC, mungkin juga atas ehsan Boss Man.


Sebagai penjawat awam pasti ada keinginan untuk merasai APC walaupun sekali sepanjang perkhidmatan.


Namun percayalah, ia akan tiba juga apabila sudah direzekikan.


Dalam sistem penilaian, terdapat banyak faktor yang diambil kira  prestasi, keperluan organisasi, kuota malah kadang-kadang strategi pengurusan. Sebab itu ada yang mendapat lebih awal dan ada yang lambat.


Teruskan bekerja seperti biasa, berikan komitmen yang sewajarnya, jaga disiplin dan hormati semua kakitangan. Tonjolkan bakat serta kelebihan yang kita ada.


Kebiasaannya, mereka yang akhirnya menerima APC bukan kerana satu kejayaan semata-mata tetapi kerana konsisten dalam kerja, disiplin dan sikap.


Jangan sesekali bekerja semata-mata kerana mengejar APC. Semua itu adalah rezeki yang Allah kurniakan.


Kadang-kadang kita rasa, “Dia tak layak pun.” Namun hakikatnya kita tidak melihat keseluruhan penilaian mungkin dari segi dokumentasi, sumbangan tertentu atau penilaian pihak atasan.


Jika bekerja hanya untuk mengejar APC, kita akan cepat penat dan kecewa. Tetapi jika kita fokus pada kerja dan nilai diri, apabila mendapat APC ia menjadi bonus bukan beban.


APC bukan sesuatu yang mustahil, cuma tidak semua orang akan mendapatnya pada masa yang sama. 


Paling penting jaga prestasi dan reputasi supaya apabila peluang itu datang, kita sudah benar-benar bersedia.


Teringat pula kisah seorang rakan sepejabat. Isterinya marah kerana suaminya mungkir janji untuk bercuti, namun suaminya terpaksa bekerja juga.


Si isteri sempat membuat status sindiran, mendoakan agar suaminya mendapat APC. Akhirnya, doa itu dimakbulkan. 😆


Namun begitu, rezeki yang paling nikmat bukan sekadar APC tetapi gaji yang berkat, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan solehah serta keluarga yang aman dan bahagia.



Comments