KWSP Untuk Apa?

Hari ini sempat juga dengar kursus berkaitan integriti dan pengurusan kewangan.


Tiba-tiba teringat, semalam sempat baca laporan permohonan bantuan seorang warga emas.


Baru sahaja bersara dan terima duit KWSP.


Tapi… duit dah hampir habis.


Ini bukan kes terpencil.


Kerap kali che kak baca laporan warga emas mohon bantuan walaupun baru setahun dua menerima KWSP. Sedangkan simpanan itu dikumpul berpuluh tahun untuk sara hidup di hari tua.


Apa yang berlaku sebenarnya?


Sebelum bersara, mereka biasa ada gaji bulanan yang stabil. Bila dapat duit KWSP sekaligus, terus rasa seperti 'duit banyak'.


Lalu dibelanjakan seperti baiki atau bina rumah besar. Buat kenduri kahwin anak secara besar-besaran. Beli kereta, motor malah untuk anak-anak sekali.


Akhirnya?


Duit habis. Tiada pendapatan tetap. Terpaksa mohon bantuan dan bergantung pada orang lain.


Mentaliti rezeki besar sekali seumur hidup. Tiada pengalaman urus duit lump sum. Tekanan sosial sebab nak nampak kaya atau berjaya di mata orang.


Masih ada yang salah faham tentang fungsi KWSP. Hakikatnya KWSP bukan duit bonus tetapi gaji bulanan versi pencen.


Contoh mudah kalau ada RM300,000 bahagi 25 tahun, sekitar RM1,000 sebulan sahaja. Itulah gaji sebenar.


Kalau habiskan RM100,000 untuk renovate rumah… hilang hampir 8 tahun “gaji”.


Che kak ada juga jumpa contoh warga emas yang bagus.


Hidup sederhana dengan cara belanja ikut keperluan. Guna aset sedia ada seperti kereta masa kerja dulu dan rumah tak tambah jadi besar dan cantik. Dia juga tetapkan had perbelanjaan bulanan.


Realitinya rumah besar tak penting bila usia makin lanjut. Kenduri besar hanya sehari. Anak bukan tanggungan sampai tua. Apa yang penting adalah kelangsungan hidup sendiri.



Comments