Che kak nak kongsikan sedikit tazkirah yang didengar di radio tentang makna sabar.
Bila kita sebut tentang sabar, kebanyakan kita terus terbayang sabar ketika ditimpa ujian. Namun sebenarnya, sabar itu sangat luas.
Para ulama membahagikan sabar kepada tiga jenis:
1. Sabar dalam ketaatan
Untuk melakukan ibadah juga memerlukan kesabaran. Bukan mudah untuk istiqamah.
Contohnya, selepas solat fardhu, kita bersabar untuk menambah amalan seperti solat sunat, berzikir atau duduk mendengar kuliah di masjid, bukan terus bangun dan beredar.
Sabar di sini bermaksud melawan rasa malas dan mendidik diri untuk konsisten dalam kebaikan.
2. Sabar dalam meninggalkan maksiat
Melakukan perkara yang salah kadang-kadang terasa mudah dan datang secara spontan. Di sinilah perlunya kesabaran untuk menahan diri.
Apabila terlintas keinginan melakukan perkara yang dilarang, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu menahan diri daripada terjerumus ke dalam dosa.
3. Sabar dalam menghadapi ujian
Inilah bentuk sabar yang paling jelas. Apabila diuji dengan kesusahan, kehilangan atau musibah seperti yang berlaku ketika PKP akibat COVID-19 ramai yang kehilangan pekerjaan, ahli keluarga dan menghadapi kesukaran hidup.
Sabar bukan sekadar berdiam diri, tetapi terus yakin bahawa setiap ujian ada hikmahnya dan tetap melangkah walaupun perlahan.
Sabar tidak bermaksud kita tidak merasa apa-apa. Kita tetap akan merasa penat, sedih dan marah.
Namun, sabar adalah bagaimana kita mengurus perasaan itu agar tidak menjauhkan kita daripada nilai dan keimanan.
Indahnya sabar itu diibaratkan seperti pokok yang berbuah. Walaupun dibaling batu ia tetap memberi buah.
Itu bukan tanda kelemahan tetapi kekuatan memilih untuk terus berbuat baik walaupun dilayan dengan kasar.
Semoga kita semua menjadi insan yang bukan sahaja bersabar ketika diuji tetapi juga sabar dalam ketaatan dan meninggalkan maksiat.
Semoga kita terus berbuat kebaikan walaupun hasilnya belum terlihat.

Comments
Post a Comment