Selamat Hari Pekerja

Kenapa kita bekerja? Sudah tentu untuk ekonomi diri sendiri dan keluarga. Namun lebih daripada itu, bekerja juga adalah satu bentuk ibadah. Memenuhi tuntutan agama serta menyumbang tenaga ke arah pembangunan negara.


Tulisan ini bukan untuk mengajar sesiapa tentang ciri-ciri pekerja yang baik. Diri ini juga tidak sempurna. Kadang-kadang kita rasa lemau, malas, tertekan. Ada juga buat salah dan silap.


Namun, ingatlah tiada siapa yang memaksa kita untuk bekerja. Kita sendiri yang memilih untuk memohon kerja dan berada di posisi kita hari ini.


Setiap pekerjaan di muka bumi ini ada nilainya. Sekecil mana pun jawatan atau tugas, semuanya memberi manfaat kepada alam dan masyarakat.


Dalam sesebuah organisasi, kejayaan tidak datang dari seorang individu, tetapi hasil kerjasama semua. Sebab itu, kita tidak boleh bekerja sesuka hati, datang lewat, ponteng tanpa alasan atau mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.


Jika tidak pandai, kita boleh belajar. Tetapi jika tiada sikap bertanggungjawab, itu yang merugikan.


Berbeza pendapat dalam kerja itu perkara biasa. Namun, tidak berbaloi untuk bergaduh sesama rakan sekerja hanya kerana tidak sefahaman. Rujuk semula panduan dan prosedur kerja yang ditetapkan agar setiap keputusan dibuat secara profesional, bukan emosi.


Apabila menerima gaji, uruslah kewangan dengan bijak. Jika ada yang sudi memberi pinjam wang jangan ingat sebab dia senang, tetapi tanda mereka mempunyai belas ihsan.


Jika ingin melakukan kerja sampingan, pastikan ia tidak mengganggu pekerjaan utama.


Bagi yang sudah berkeluarga, bekerja biarlah dengan izin dan kefahaman bersama. Suami dan isteri perlu saling menyokong, bukan membebankan tanpa sebab atau tanpa persediaan. 


Zaman sekarang penuh cabaran. Pendapatan yang ada sekurang-kurangnya mampu memenuhi keperluan asas dan memberi sedikit ruang untuk menghargai diri serta keluarga.


Dalam masa yang sama, tidak semua isteri berpeluang untuk bekerja. Ada yang perlu memberi sepenuh perhatian kepada keluarga, termasuk menjaga anak istimewa. Peranan sebagai suri rumah sepenuh masa juga adalah satu pengorbanan besar yang wajar dihargai.


Akhirnya, apa jua peranan kita sebagai pekerja, majikan, suami, isteri atau suri rumah semuanya ada nilai di sisi kehidupan.


Perbetulkan niat setiap hari. Bekerjalah dengan amanah, ikhlas dan rasa tanggungjawab.


Bukan sekadar mencari rezeki, tetapi membina kehidupan yang lebih bermakna.



Comments