Tajuk : Masih Muda, Katanya

Alia termenung lama melihat surat yang diterimanya petang tadi.


Berbulan-bulan dia menunggu, akhirnya jawapan yang diterima hanyalah satu iaitu permohonan tidak diluluskan.


Alasannya mudah. Dia masih muda dan dianggap mampu bekerja.


Ya, dia masih muda. Namun hakikatnya, dia hanya bekerja di kantin sekolah dengan gaji harian. Bila cuti sekolah, tiada kerja, tiada gaji.


Mahu cari kerja lain, tiada majikan yang sanggup menerima kerana kekangan masa dan tanggungjawabnya terhadap anak-anak.


Mahu berniaga, langsung tiada modal untuk bermula.


Alia memandang ke arah empat orang anaknya yang sedang lena tidur.


Anak-anak yatim itu kehilangan ayah mereka selepas terjatuh dari bumbung ketika mencari rezeki sebagai tukang rumah.


Arwah tidak meninggalkan harta. Hanya amanah empat orang anak.


Setiap hari Alia bekerja dari pagi hingga petang, menggunakan seluruh tenaga yang ada.


Balik ke rumah, dia menyambung tugas sebagai ibu dan ayah. Di celah mana lagi dia mampu mencari pendapatan tambahan?


Keluarganya sendiri hidup susah, tidak mampu membantu. Keluarga arwah suami juga dalam keadaan yang sama.


Sewa rumah tetap perlu dibayar setiap bulan. Perut anak-anak tetap perlu diisi. Kadang-kadang, mereka hanya makan nasi dengan kicap. Nasib baik ada lebihan lauk dari kantin tempat dia bekerja.


Alia tidak berdaya. Sebab itu dia memohon bantuan bukan untuk dirinya, tetapi untuk anak-anaknya.


Namun kata-kata daripada kakitangan yang menguruskan permohonannya masih terngiang-ngiang di telinga. Tiada simpati. Tiada empati.


Seolah-olah maruahnya dipijak.


“Bukan aku minta hidup susah…”


Air mata ditahan.


Eddahnya masih berbaki sebulan.


Dalam putus asa, Alia nekad mencari seorang sukarelawan yang sering membantu golongan susah seperti dirinya. Mungkin di situ masih ada sinar harapan.


Dia malu untuk bertemu wakil rakyat. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah melihat mereka hadir membantu kecuali ketika musim pilihan raya.


Sukarelawan itu membawanya ke pejabat untuk ditemuduga semula, kali ini dengan pegawai yang berbeza.


Pegawai itu terkejut apabila mengetahui permohonannya sebelum ini ditolak.


“Anak yatim dalam keadaan begini sepatutnya dibantu.”


Mudah-mudahan kali ini ada harapan. Jangan hanya melihat pada usia mudanya. Di sebalik itu, dia seorang ibu yang sedang bertarung sendirian demi amanah terakhir suaminya.

 



Nota: 

Kisah dan watak dalam penceritaan ini telah diolah berdasarkan pengalaman sebenar, namun sebahagian nama, tempat dan situasi telah diubah bagi menjaga privasi individu yang terlibat.


#kisahmasyarakat

#diarihasliza

Comments