Skip to main content

Cerpen Si Cing di Rimbunan Buluh

“Mami… boleh lah kita bela seekor je…” adik masih memujuk sambil memandang wajah mami dengan mata bulat penuh harapan.

Mami mengeluh kecil.

“Bukan mami tak suka kucing. Mami kesiankan kucing sebenarnya. Bela ni bukan setakat bagi makan. Nak bersihkan najis, mandikan, jaga sakit demam… semua tu tanggungjawab. Tengok jiran tu… tahi kucing merata, orang lain pula kena bersihkan.”

Adik diam sekejap.

“Lagipun baba kamu memang trauma. Dulu ada entah kucing siapa masuk rumah, cakar sofa baru baba beli. Habis rosak. Memang naik angin baba masa tu.”

Suasana ruang tamu seketika sunyi. Zara yang sedari tadi mendengar tiba-tiba tersenyum kecil. Pandangannya kosong seolah-olah sedang melihat sesuatu yang jauh di masa lalu.

Zara teringat kisah 40 tahun lepas. 

Zara darjah satu ketika itu.  Semasa berjalan pulang dari sekolah di jalan kampung yang sunyi, Zara terdengar bunyi anak kucing dari sebalik rimbunan pohon buluh di tepi jalan.

“Meowww… meowww…”

Langkah Zara terhenti. Di hadapannya ada parit kecil memisahkan jalan dengan rumpun buluh yang tebal dan agak gelap. Selalunya Zara takut lalu situ. Macam-macam cerita seram budak kampung dengar.

Kisah hantu cina melompat-lompat. Ketawa pontianak waktu senja. Cerita puteri buluh betong tinggal dalam pohon buluh. Tapi petang itu, semuanya hilang dari fikiran Zara.

Bunyi anak kucing itu benar-benar seperti magnet menarik hatinya. Tanpa berfikir panjang, Zara terus melompat parit kecil itu dan menyelak daun-daun buluh yang berjuntai.

“Meowww…”

Di celah rumput kering, Zara ternampak seekor anak kucing kecil. Bulunya putih gebu dengan tompok hitam di atas kepala. Badannya kurus dan menggigil ketakutan. Mata kecil itu memandang Zara seolah-olah meminta tolong. Hati Zara terus cair.

Zara mendukung anak kucing itu ke dada. Anak kucing itu diam, malah manja menyelitkan kepalanya pada baju sekolah Zara yang sudah kotor dek kerana bermain di padang pada waktu rehat.



Tanpa berfikir panjang, Zara terus membawa anak kucing itu pulang ke rumah.

“Ibu… ibu…” Zara berlari masuk ke rumah sambil mendukung anak kucing kecil itu.

“Ibu, Zara ada bawa balik anak kucing. Zara jumpa dekat pokok buluh. Kesian dia, ibu… dia lapar kot. Zara nak jaga dia lah, ibu…”

Ibu memandang wajah Zara yang penuh harapan. Kemudian matanya beralih pada anak kucing kecil yang kurus dan menggigil itu.

Ibu tidak marah. Ibu juga tidak terus mengizinkan.Dia hanya diam. Namun diam seorang ibu kadang-kadang sudah cukup memberi jawapan.

Sejak hari itu, Zara menjaga anak kucing itu dengan penuh kasih sayang. Setiap kali waktu makan, Zara akan menggaul nasi dengan isi ikan. Itulah makanan buat si kecil berbulu putih bertompok hitam itu.

“Cing… cing… cing…”

Begitulah suara Zara memanggilnya setiap hari. Anak kucing itu akan berlari anak menuju ke arah Zara sambil ekornya tegak ke atas.

Zara suka bermain dengannya di halaman rumah. Kadang-kadang sampai terlupa kerja sekolah.

“Cing cing cing cing…” Itulah panggilan yang melekat. Sampai Zara sendiri terlupa hendak memberinya nama sebenar.

Masa berlalu begitu pantas. Anak kucing kecil yang dulu ditemui di celah pokok buluh kini sudah besar dan sihat. Sudah lima tahun berada dalam jagaan Zara.

Kucing itu bukan lagi sekadar haiwan peliharaan. Ia sudah menjadi teman hidup Zara.Menjadi peneman ketika Zara sedih. Menjadi penunggu setia di tangga rumah setiap kali Zara pulang sekolah.

Namun suatu hari, ayah Zara mendapat arahan berpindah rumah. Hari perpindahan itu sangat sibuk. Barang-barang diangkat masuk ke dalam lori. Kerusi, almari, tilam semuanya dimuatkan satu demi satu.

Zara pula sibuk memujuk si cing kesayangannya.

“Cing… mari naik sekali…”

Tetapi kucing itu hanya duduk memandang dari bawah pokok. Zara cuba mendukungnya. Namun sebaik sahaja tangannya menyentuh badan si cing, kucing itu melompat turun lalu berlari menjauh.

“Cing… jangan lari…”Air mata Zara mula bertakung. Berkali-kali Zara cuba memanggil.

“Cing cing cing…” Tetapi kucing itu tetap tidak mahu mendekat.

Akhirnya ayah bersuara perlahan, “Zara… kita dah lambat.”

Zara memandang sayu ke arah kucing kesayangannya. Hatinya terasa seperti digunting perlahan-lahan. Lori mula bergerak meninggalkan rumah itu.

Buat kali terakhir, Zara melihat si cing berdiri di halaman rumah lama mereka. Memandang lori yang semakin jauh.

Sejak hari itu, Zara tidak lagi memelihara kucing. Bukan kerana Zara tidak sayang. Tetapi kerana hati Zara seolah-olah tertinggal bersama si cing di rumah lama itu.

Kadang-kadang, apabila terdengar bunyi kucing mengiau di luar rumah, hati Zara masih tersentak kecil.

Setiap kali terlihat rimbunan pokok buluh di belakang rumah, memori lama itu datang kembali satu persatu. Seorang budak perempuan kecil berbaju sekolah. Melompat parit kecil. Menyelak daun buluh yang bergoyang ditiup angin petang. Seekor anak kucing putih bertompok hitam yang menggigil kelaparan. Zara tersenyum sendiri, tetapi matanya mula berkaca.

“Apalah nasib si cing agaknya…”

Zara tahu, selepas puluhan tahun berlalu pasti si cing sudah lama tiada di dunia ini. Namun sampai sekarang, satu persoalan masih tinggal di dalam hati. Adakah si cing hidup bahagia selepas itu?Adakah ada orang lain menjaganya? Atau si cing tetap menunggu Zara pulang di rumah lama itu… hari demi hari… sehingga akhirnya ia sendiri mengalah dengan waktu? Tiada siapa tahu.

Tetapi kasih sayang kadang-kadang memang begitu. Walaupun masa berlalu berpuluh tahun kenangan kecil tetap hidup di sudut hati paling dalam. Zara memandang adik lalu tersenyum nipis.

“Maafkan mami, adik. Bukan mami tak suka kucing. Mami cuma takut kehilangan sekali lagi.”

Comments