Sangat tenang apabila mata memandang laut yang terbentang luas dan langit yang indah membiru. Angin yang bertiup lembut terasa mendamaikan jiwa, manakala bunyi ombak yang menghempas pantai seakan-akan menjadi alunan zikir alam kepada Sang Pencipta. Dalam suasana sebegitu, hati manusia mudah merasa kagum dan tenang. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa segala keindahan itu hanyalah sedikit daripada tanda kekuasaan Allah سبحانه وتعالى? Laut yang tenang boleh bertukar ganas. Ombak yang mendamaikan boleh berubah menjadi ancaman. Langit yang cerah juga mampu menjadi gelap dan menurunkan bala. Apabila alam memuntahkan amarah dengan izin Allah akibat kerakusan dan kemungkaran manusia, di situlah manusia mula sedar betapa lemahnya diri. Firman Allah سبحانه وتعالى: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan mereka, supaya mereka kemba...