Skip to main content

Posts

Showing posts from April, 2026

Kepentingan Lawatan Ke Rumah Dalam Penilaian Bantuan

Salah satu elemen penting dalam penyediaan laporan kes ialah lawatan ke rumah.  Melalui lawatan ini, penilai dapat melihat sendiri keadaan sebenar kehidupan pemohon bukan sekadar bergantung kepada maklumat di atas kertas. Sering timbul persepsi dalam masyarakat bahawa individu yang memiliki rumah besar tidak layak menerima bantuan manakala mereka yang tinggal di rumah usang atau daif semestinya layak. Namun, hakikatnya tidak semudah itu. Memiliki rumah besar tidak bermakna seseorang itu berada dalam keadaan senang. Sebagai contoh, rumah tersebut mungkin dibina ketika ketua keluarga masih hidup dan mempunyai pendapatan yang stabil.  Namun, setelah berlaku kematian atau kehilangan sumber pendapatan utama, keluarga tersebut mungkin menghadapi kesukaran kewangan yang serius.  Dalam situasi seperti ini walaupun rumah mereka besar dan selesa, mereka tetap memerlukan bantuan sekurang-kurangnya untuk tempoh sementara sehingga ekonomi keluarga kembali stabil. Sebaliknya, keadaan r...

Audit Jabatan Audit Negara

Hari ini bermulanya audit daripada Jabatan Audit Negara. Menerima kunjungan audit bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia merupakan sebahagian daripada proses biasa bagi mana-mana jabatan kerajaan yang menguruskan dana awam. Setiap jabatan yang mengendalikan kewangan kerajaan sememangnya tertakluk kepada proses audit bagi memastikan pengurusan kewangan dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan mematuhi segala peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan. Tujuan audit dijalankan adalah untuk menilai tahap pematuhan terhadap undang-undang, peraturan dan prosedur kewangan. Memastikan pengurusan kewangan dilaksanakan secara cekap, berkesan dan berintegriti. Mengesan sebarang kelemahan dalam sistem kawalan dalaman.  Mengelakkan berlakunya pembaziran, ketirisan atau penyalahgunaan wang awam. Memberi cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh tadbir urus organisasi. Apabila kita sentiasa mematuhi garis panduan dan dasar yang ditetapkan serta melaksanakan tugas dengan penuh tangg...

Tajuk: Kenangan di Bilik PK HEM

Masih segar dalam ingatan, walaupun masa telah lama berlalu. Ketika itu, aku baru darjah enam. Hari itu, entah angin apa yang datang, aku bergaduh dengan dua orang budak lelaki sekelas. Nama mereka sudah kabur ditelan waktu, begitu juga punca pergaduhan. Yang tinggal hanyalah rasa tegang dan debaran yang menyusul selepasnya. Kami bertiga dipanggil menghadap PK HEM. Langkah terasa berat saat melangkah masuk ke bilik itu. Namun, suasana yang dijangka tegang rupanya tenang. PK HEM tidak terus menghukum. Beliau mendengar satu persatu penjelasan kami, dengan wajah yang sabar dan mata yang memahami. Selepas itu, beliau menasihati kami. Anehnya, aku tidak lagi mengingati isi nasihat tersebut. Namun cara beliau menyampaikannya sangat lembut, berhemah, tanpa meninggikan suara terpahat kemas dalam ingatan. Tiada herdikan, tiada rasa dipermalukan. Akhirnya, kami diminta saling memohon maaf. Sama ada selepas itu kami kembali berkawan atau terus menjauh, aku sendiri tidak pasti. Yang pasti, hari it...

Tajuk : Nombor Siri Satu Ringgit

Pagi itu seperti biasa, dia melangkah ke sekolah dengan rambut bertocang dua dan bekas plastik berisi nasi goreng di tangan. Dalam poket baju kurungnya terselit syiling 20 sen, kadang-kadang 50 sen jika bernasib baik. Jumlah kecil itu sudah cukup membuatkan hatinya berbunga sepanjang hari. Namun, kenangan yang paling kuat melekat bukanlah tentang makanan di kantin atau nilai duit kecil itu. Ia tentang kata-kata ayahnya. Suatu petang, ayah memanggilnya duduk berdekatan. Di tangannya ada beberapa keping duit kertas satu ringgit. Ayah menunjuk pada nombor-nombor kecil yang tercetak di atasnya. “Kalau duit ayah hilang,” kata ayah tenang, “ayah tahu hilang kat mana. Kalau orang guna tanpa izin pun, ayah tahu duit itu ada di kedai mana.” Dia terdiam. Mata kecilnya membulat, cuba memahami. Bagaimana mungkin ayah tahu semua itu? Bagaimana ayah boleh kenal setiap duit? “Ini nombor siri,” sambung ayah sambil menunjukkan dengan jari. “Ayah ingat semua.” Dia tidak benar-benar faham. Otaknya yang m...

Cerpen: Sunyi Dalam Ramai

“Kak, daftarkanlah dia sebagai OKU. Bukan sebab bantuan… tapi masa depan dia.” Aina hanya diam. Tangannya mengusap kepala anak lelakinya, Danish, yang sedang leka bermain kereta mainan di lantai. Kata-kata itu bukan kali pertama didengarnya. Tapi setiap kali itulah juga hatinya menolak. “Tak apalah… saya masih mampu jaga dia,” jawab Aina perlahan, seolah-olah memujuk dirinya sendiri. Hakikatnya, dia takut. Takut orang pandang serong. Takut anaknya dilabel. Dan paling utama dia belum bersedia menerima kenyataan. Sejak kecil, Danish bukan seperti kanak-kanak lain. Bila dipanggil, dia tidak menyahut. Bila dimarahi, dia hanya memandang kosong. Aina sering naik marah. “Danish! Ibu panggil tak dengar ke?!” Anak itu tetap diam. Hari demi hari, tekanan makin menyesakkan. Hinggalah satu hari, Danish hampir dilanggar kereta kerana tidak menyedari hon yang kuat. Saat itu, sesuatu dalam diri Aina retak. Di klinik, doktor menjalankan ujian pendengaran yang sebenar. “Puan… anak puan mengalami masala...

Tajuk Cerpen : Tenang Seorang Pak Mat

“Awak sibuk tak? Jom temankan saya.” Ajakan Maira itu ringkas, tapi cukup untuk membuat Lia mengangguk. Hari itu mereka dijadualkan membuat lawatan tahunan ke rumah seorang warga emas. Rutin biasa bagi pekerja kes seperti mereka.  Namun, setiap rumah pasti menyimpan cerita yang berbeza. Berpandukan peta dalam telefon dan lakaran lama dalam borang permohonan, mereka akhirnya tiba di sebuah rumah kecil di hujung lorong sunyi. Tidak mewah, tetapi tampak terjaga. “Assalamualaikum!” Maira memberi salam sambil mengetuk pintu. Tiada sahutan. Beberapa minit berlalu. Mereka saling berpandangan. Maira cuba lagi, kali ini sedikit kuat. Akhirnya, kedengaran bunyi langkah perlahan dari dalam. Pintu dibuka. Seorang lelaki tua berdiri di hadapan mereka. Tubuhnya sedikit bongkok, rambutnya memutih sepenuhnya dan di telinganya terpasang alat bantuan pendengaran. Dia memandang mereka dengan mata yang redup, namun tidak kosong. “Oh… maaf lambat. Tak dengar tadi,” katanya perlahan. Lia tersenyum dan m...

Tajuk Cerpen : Pahala Terakhir

Berita dalam akhbar itu ringkas, tetapi cukup untuk membuat dada Far terasa berat. "Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya. Bersamanya, seorang anak kecil." “Far, ready duit TBS. Kita pergi ziarah isteri arwah,” kata Kak Lina, tenang seperti biasa, walaupun matanya jelas menyimpan simpati. Far hanya mengangguk. Begitulah rutin mereka. Setiap kali berita seperti ini tersiar, mereka akan menyantuni mangsa bukan sekadar membawa bantuan, tetapi juga memikul kisah-kisah yang sering kali lebih berat daripada yang mampu diluahkan. Dalam perjalanan, tiada siapa banyak bercakap. Mereka sudah biasa dengan kesedihan, tetapi tidak pernah benar-benar kebal terhadapnya. Sampai di rumah itu, suasana sunyi menyambut mereka. Hanya bunyi esakan perlahan dari dalam rumah yang memecah kesunyian. Si balu duduk bersandar di dinding, tubuhnya kecil seolah-olah direnggut sebahagian jiwanya. Wajahnya masih muda, masih cantik, tetapi jelas dicalari duka yang dalam. Di sisinya, beberapa ahli k...

Mengapa Anak Jadi Jauh? Peranan Ibu Bapa dalam Hubungan Adik-Beradik

Perbuatan ibu bapa yang memburukkan seorang anak kepada anak yang lain bukan perkara kecil.  Ia memberi kesan jangka pendek dan panjang kepada emosi serta hubungan dalam keluarga. Antara kesan dan akibatnya: ❤️‍🩹Hubungan adik-beradik menjadi renggang Anak-anak akan mula melihat satu sama lain sebagai pesaing atau “musuh”, bukan sebagai ahli keluarga yang perlu disayangi dan disokong. ❤️‍🩹Hilang rasa hormat sesama sendiri Apabila keburukan sering diceritakan, anak akan membentuk persepsi negatif terhadap saudaranya. Ini menghakis rasa hormat dan kepercayaan. ❤️‍🩹Timbul perasaan iri hati dan dendam Anak yang sering dibandingkan atau diburukkan mungkin menyimpan rasa tidak puas hati, cemburu atau dendam yang berpanjangan. ❤️‍🩹Menjejaskan emosi dan keyakinan diri Anak yang menjadi mangsa akan rasa dirinya tidak dihargai, rendah diri dan mungkin mengalami tekanan emosi. ❤️‍🩹Mewujudkan suasana keluarga yang tidak harmoni Rumah yang sepatutnya menjadi tempat selamat bertukar menjadi ...

Tajuk Cerpen : Minah Kilang: Ada Apa Pada Asrama

Selepas tamat pengajian di universiti, aku tidak memilih kerja. Apa sahaja yang ada, aku cuba. Rezeki pertama yang datang ialah bekerja di sebuah kilang. Hanya empat bulan aku di sana, tetapi pengalaman itu terasa panjang, penuh warna dan cerita. Aku bekerja secara syif. Gaji harian cuma RM40, dan kalau buat kerja lebih masa, dapatlah RM55. Tidak banyak, tetapi cukup untuk aku belajar berdikari.  Pihak kilang menyediakan asrama sebuah rumah kedai. Penghuninya ramai, hampir sepuluh orang dalam satu rumah. Kebanyakannya berasal dari Sxxxx dan ada juga yang aku syak bukan warga tempatan. Wajah mereka cantik, persis pelakon drama Filipina. Hari pertama aku sampai, perkara pertama yang aku cari ialah arah kiblat. Aku bertanya, tetapi tiada siapa yang tahu. Aku berdiri memandang langit, mencari arah matahari sambil berdoa dalam hati agar diberi petunjuk. Dengan yakin yang tipis, aku dirikan solat. Tidak lama kemudian, seorang makcik dari Sabah yang baru pulang kerja menunjukkan arah kibl...

Tajuk Cerpen : Rindu Raudhah

Pada suatu petang, ketika berada di dalam biliknya sambil menanti waktu berbuka puasa, Iffa termenung melihat gambar-gambar rakan kenalannya yang sedang menunaikan umrah. Tiba-tiba, hatinya disapa rindu. Rindu pada saat-saat ketika dia sendiri pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Segalanya masih segar dalam ingatannya. Ramadan hampir melabuhkan tirainya. Di bumi penuh keberkatan itu, setiap detik terasa begitu berharga seolah-olah masa berjalan lebih pantas daripada biasa. Namun bagi Iffa, perjalanan itu meninggalkan satu keinginan yang belum tertunai untuk menjejakkan kaki dan bersolat di Raudhah, taman syurga yang sering didengar keistimewaannya. Hari kepulangan semakin hampir. Rombongan sudah bersiap sedia untuk pulang ke Malaysia. Suasana di hotel dipenuhi kesibukan. Beg dikemas, suara memanggil sesama ahli rombongan bersahut-sahutan. Namun di satu sudut bilik, Iffa duduk sendirian. Hatinya terasa berat. Impian kecilnya masih belum tercapai. Dengan sisa harapan yang ada, dia bang...

Tajuk Cerpen: Yang Menjaga Dihina, Yang Menjenguk Dipuja

Zu memandang langit petang yang kelabu dari jendela dapur. Awan bergumpal seperti menahan hujan, sama seperti hatinya yang sarat menahan rasa. Angin yang masuk perlahan hanya menyentuh kulit, tidak mampu menyentuh resah yang semakin menebal di dada. Di ruang tengah, televisyen terpasang tanpa ditonton. Bunyi yang lebih jelas ialah batuk mentuanya yang terbaring di katil khas, berulang-ulang, memecah sunyi. “Zu! Lambat lagi ke?” jerkah suara tua itu, serak tetapi tajam. Zu segera mengelap tangannya pada kain buruk di bahu. Tanpa membalas, dia bergegas ke bilik. Bau ubat bercampur hanyir menyambutnya, namun deria itu sudah lama terbiasa. Dengan cekap, dia menukar lampin pakai buang, mengelap tubuh yang semakin kaku itu dengan penuh berhati-hati. “Kenapa lambat sangat? Orang sakit ni bukan boleh tunggu lama-lama,” sambung mentuanya, wajah berkerut. “Maaf, ayah. Saya tengah siapkan lauk tadi.” “Kalau orang jaga betul-betul, taklah aku jadi macam ni,” rungutnya lagi. Tangan Zu terhenti seke...

Warga Emas vs Orang Tua

Menggamit memori melihat mug masa zaman muda. Sampai sekarang masih ada.  Pernah terlintas dalam fikiran kenapa sekarang kita lebih suka guna istilah “warga emas” daripada “orang tua”? Tak dinafikan, warga emas bunyinya lebih sopan dan sedap didengar seolah-olah kita nak angkat martabat mereka. Tapi realiti hidup warga emas sebenarnya tak seindah istilah yang kita guna. Hakikatnya, masih ramai dalam kalangan mereka hidup susah dan terpinggir di usia senja.  Ada yang masih kena bekerja, berniaga kecil-kecilan atau buat kerja buruh semata-mata nak cukup makan dan teruskan hidup selagi jasad bernyawa. Dalam masa yang sama, mereka juga menghadapi masalah kesihatan yang memerlukan rawatan sepanjang hayatnya. Bab kewangan pun sama. Tak semua warga emas ada simpanan yang cukup, bahkan duit yang ada terpaksa dicatu dan berkira-kira.  Walaupun ada yang menerima wang daripada KWSP atau dana persaraan lain, jumlah tersebut sering kali tidak mampu menampung keperluan sara hidupnya. A...