Pengalaman Hamil Anak Sulung: Dugaan, Air Mata & Nikmat Tak Terkata

Assalamualaikum dan salam kasih sayang buat semua ibu-ibu hebat di luar sana.

Che Kak doakan semoga semua ibu dan anak-anak sihat walafiat, diberi kekuatan dan ketabahan dalam menjalani kehidupan seharian. Hari ini, Che Kak nak kongsikan sedikit pengalaman sendiri – pengalaman yang takkan dilupa sampai bila-bila: mengandung anak sulung.


💍 Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ): Ujian Selepas Nikah

Lepas dua minggu berkahwin, Che Kak dan suami terus hadapi ujian – tinggal berjauhan. Che Kak kerja di Kuala Lumpur, suami pula di Melaka. Setiap minggu ulang-alik naik bas. Walaupun letih, itulah pengorbanan demi kasih sayang.


👶 “Liza, Kau Ni Mengandung…”

Che Kak masih ingat, masa tu pergi kursus jabatan kat Ipoh. Tumpang kereta Kak Marina yang bawa ibunya sekali. Dalam kereta, mak Kak Marina tiba-tiba cakap:

“Liza, kau ni mengandung…”

Masa tu belum tahu apa-apa pun. Tapi lepas balik, Che Kak buat UPT – positif!

Dan yang peliknya, lepas tahu mengandung, automatik alahan datang. Muntah, pening, tak boleh bau wangi, tak lalu makan – semua muncul serentak. Yang peliknya, orang selalu ada morning sickness, tapi Che Kak kena masa petang sampai malam. Bila azan Subuh je, terus rasa sihat. Ajaib kan?


🏥 Check Up di Klinik dan Rujukan ke HKL

Disebabkan ada sejarah perubatan (pernah buat pembedahan jantung tahun 1990), Che Kak dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Setiap kali temujanji, datang seawal jam 7 pagi dan keluar hospital jam 3 petang – semata-mata untuk jumpa doktor kurang dari 5 minit. Tapi demi bayi dalam kandungan, Che Kak sabar.


😰 Tanda-Tanda Badan Lemah

Masuk 8 bulan kandungan, badan makin lemah. Nak pegang pen pun tak larat. Kepala berdenyut, rasa nak pitam. Cuti seminggu, konon nak rehat. Tapi bila masuk kerja balik, masih tak kuat.

Akhirnya masa temujanji di hospital, doktor tengok muka pucat dan suruh masuk wad. Tapi Che Kak minta balik kampung sebab suami jauh di Melaka, dan Che Kak tiada sesiapa di KL.

Lepas pujuk doktor, akhirnya dapat balik ke Kelantan. Sepanjang perjalanan, muntah dan pening. Sampai saja di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), terus masuk wad.







💉 Kejutan Bacaan HB & Transfusi Darah

Ujian darah menunjukkan HB cuma 7 g/dl – sangat rendah. Che Kak kena masuk 2 pain darah.

Doktor tanya kenapa tak makan vitamin. Che Kak jawab jujur:

“Tak tahu pun kena makan vitamin. Tak pernah dapat pun.”

Doktor terkejut. Tapi itulah realiti. Kadang-kadang kita tak diberi penerangan yang jelas.

Doktor beritahu, kalau lambat dapat rawatan, bayi berisiko tak cukup oksigen, lahir pramatang atau lebih teruk – boleh meninggal dunia. Ibu pula boleh alami komplikasi ketika bersalin.


🏩 Sebulan di Wad & Menjadi 'Bahan Kajian'

Sebulan juga Che Kak duduk dalam wad. Ramai doktor pelatih datang ambil kes. Penat juga, tapi Che Kak reda. Mereka pun tengah belajar. Che Kak gembira dapat bantu ilmu mereka.

Lagipun, seronok juga tengok doktor muda comel-comel. Hehe 😄


🌸 Kesimpulan: Jangan Ambil Mudah Kesihatan Ibu Hamil

Pengalaman ini ajar Che Kak banyak perkara. Dan Che Kak nak pesan pada semua bakal ibu:

✅ Makan vitamin yang dibekalkan – jangan tinggal.

✅ Jaga pemakanan – makan makanan berzat dan berkhasiat.

✅ Datang pemeriksaan mengikut jadual – jangan tangguh.

✅ Tanya bila tak faham – kesihatan kita dan bayi adalah tanggungjawab bersama.

💌 Penutup

Setiap kehamilan itu berbeza. Tapi satu yang sama – pengorbanan seorang ibu itu luar biasa. Hargai diri, hargai kesihatan, dan jangan malu untuk minta bantuan.

Doakan agar ibu-ibu hamil di luar sana sentiasa sihat, tenang dan dipermudahkan urusan sehingga saat kelahiran. 💖

Salam sayang dari Che Kak.




Comments