Catatan Seorang Pelindung: Setahun Penuh Erti di Bahagian Kanak-Kanak dan Keluarga

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini Kak Za nak sambung kisah perjalanan kerjaya Kak Za sebagai seorang Pelindung Kanak-Kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Langkah Pertama Sebagai Pelindung

Tahun 2004, selepas menerima surat pertukaran ke Bahagian Perkhidmatan Kanak-Kanak dan Keluarga, Kak Za berpindah meja — masih dalam bangunan yang sama, tapi tanggungjawabnya jauh berbeza. Kak Za berasa amat bertuah kerana dikelilingi oleh individu hebat seperti Puan Jaleha, Puan Jamaeah, En. Zulkamal, dan En. Tajudin. Aura positif mereka menjadi pendorong semangat Kak Za.

Untuk sah sebagai Pelindung, seseorang pegawai perlu digazetkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Sebelum kendalikan kes, Kak Za sempat mengikuti Puan Jamaeah ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuala Lumpur. Perbicaraan pertama yang Kak Za saksikan – kes penderaan – cukup membuka mata.

Persediaan dan Cabaran Awal

Keesokannya, Kak Za berkeliling satu bandar KL mencari blazer hitam untuk ke mahkamah. Bajet yang terhad tak menghalang semangat — akhirnya berjaya jumpa blazer bawah RM100 di Semua House. Satu kenangan manis.

Sebagai Pelindung, Kak Za sering berhadapan kes penderaan — fizikal, seksual, emosi, pengabaian — dari pelbagai rujukan: hospital, TELEDERA, media, orang awam. Setiap kes perlu disiasat dalam tempoh 24 jam. Ada masa, walaupun baru nak balik, panggilan kes masuk — terus turun ke lapangan, siasat, bawa ke hospital, ke mahkamah, ke RKK. Penat, tapi hati puas kerana dapat bantu anak-anak yang perlukan perlindungan.

Teguran yang Mendidik

Pernah juga Kak Za ditegur oleh Pengarah, Mr. Pillay. Walaupun berdebar, tapi teguran yang berhemah dan membina itu buat Kak Za lebih berhati-hati dan terus belajar. Kak Za juga tak segan bertanya pada otai-otai di bahagian, dan kalau perlu, Kak Za akan hubungi HQ — pada waktu itu, Puan Siti Darmawan tempat rujukan utama.

Sumber google

Laporan Anak Angkat dan Lawatan Ke Rumah Pemohon

Disebabkan kes penderaan terlalu banyak dan semua Pelindung sering di luar pejabat, struktur tugas diubah. Kak Za ditugaskan kendali kes anak angkat di bawah dua akta:

  • Akta Pendaftaran Pengangkatan (semua agama)
  • Akta Pengangkatan (non-muslim melalui Mahkamah)

Kak Za akan ke Mahkamah Sesyen setiap Sabtu dan sediakan laporan Guardian Ad Litem. Seronok juga bila dapat berjumpa keluarga angkat yang berlainan bangsa dan budaya — termasuk Mat Salleh, pegawai kedutaan, malah model 90-an!

Kes Perlindungan, Keganasan Rumah Tangga, dan Ugutan

Tugas di bahagian ini juga melibatkan kes keganasan rumah tangga. Kak Za perlu temani mangsa ke mahkamah untuk Interim Protection Order (IPO), bantu dapatkan perlindungan sementara dan tangani trauma mereka. Mangsa bukan calang-calang — ada yang jurutera, arkitek, profesional. Tapi tetap menjadi mangsa penderaan.

Pengalaman Menyentuh Hati

Salah satu kes paling menyentuh hati ialah bayi 2 tahun positif HIV yang amat manja. Menangis bila berpisah dengan Kak Za. Luka di badannya, keadaannya, dan kasih sayangnya… semuanya membuatkan Kak Za menitiskan air mata.

 

Sumber google

Akhirnya, Berpindah Ke Kelantan

Walaupun hanya setahun di bahagian ini, pengalaman Kak Za sangat bererti. Kes datang tak henti-henti, tetapi semangat tetap tinggi.

Pada 16 Februari 2005, Kak Za sah berpindah ke PKMJ Pasir Mas. Selamat tinggal KL. Nanti Kak Za sambung pula kisah di Pasir Mas ya...

Comments