PUISI: DIA HANYA BUDAK

Hancur luluh,
Remuk redam,
Sendu pilu
Mencengkam jiwa.

Menahan air jernih
Berkaca di kelopak mata,
Bertakung, menanti gugur
Bersama keluhan
Nafas sesak di dada.

Hayunan jari jemari,
Tatapan demi tatapan,
Mata terpaku
Pada skrin gajet itu.
Laman sosial pantas berbicara 
Dia hanya insan tanpa dosa,
Sejernih permata,
Sewangi kasih tanpa noda.

Tanpa dia,
Sunyi dunia dewasa.
Dia amanah.
Dia ahli syurga.
Dunianya hanya kasih sayang.
Tidak mengerti
Dunia fatamorgana.


Kau bukan manusia,
Kau juga bukan binatang.
Kerana tiada kasih
Dalam hatimu,
Tiada naluri cinta,
Tiada belas ihsan.

Kau syaitan bertopeng manusia.
Hatimu disaluti titik hitam,
Tiada iman,
Bertatah nama Tuhan.

Tubuh kerdil itu...
Jiwa kecil itu...
Tak tertanggung
Luka-luka yang berbirat.
Darah merah suci mengalir,
Biru lebam tak terbilang.


Tiada lagi tangisan 
Air jernih sudah kering.
Hatinya hilang
Rasa percaya pada duniamu.


Dia hanya budak,
Terkandung sebutir permata,
Pewaris dunia dan akhirat.
Dia hanya budak,
Anugerah Tuhan,
Tiada dosa.

Tapi kau...
Amat jahat.
Telah mendera dia.


Wahai ahli akademik,
Para doktor,
Barisan menteri,
Golongan cendekiawan,
Pengamal undang-undang,
Pentadbir sosial 

Bersatu hati,
Memerah keringat dan buah fikiran
Demi membanteras
Penganiayaan dan penderaan.

Talian Nur 15999 
Dail sebelum parah.



*serikandi tercipta*