APC & Rezeki: Bukan Hanya Soal Markah

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Pagi ini, Che Kak ketinggalan keretapi. Bila tengok-tengok balik, rupanya hari ni Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Tahniah kepada semua staf JKM yang menerima anugerah pada hari ini. Semoga terus bersemangat dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.


🤔 “Macam mana dia boleh dapat APC?”

Pasti ramai pernah terdetik soalan ini, kan? Che Kak pun tak terkecuali. Kadang-kadang bila kita kenal seseorang – cara kerja, sikap, gaya dia di pejabat – kita mudah membanding-bandingkan.


Gambar hiasan sahaja

“Eh, dia tu kerja biasa je, boleh pula dapat APC?”

“Aku rasa ada lagi yang lebih layak…”

Manusia memang cepat membuat persepsi. Bila kita tahu seseorang itu memang rajin, komited, mesra pelanggan – kita akan rasa gembira dan senang hati bila dia diraikan. Tapi kalau sebaliknya, kita akan mula tertanya-tanya dan mempersoalkan.


📊 Penilaian Tetap Berbeza

Walaupun ada skala permarkahan, borang SKT, LNPT, dan sebagainya – hakikatnya, penilaian manusia tak sama.

Sehebat mana sistem, tetap ada ruang subjektif. Pengalaman, sikap, dan hubungan turut memberi kesan kepada cara penilai menilai.

Tapi dalam semua ini, kita sering lupa tentang satu perkara: konsep rezeki.


🌧️ Rezeki Itu Milik Allah

APC juga adalah rezeki. Dan rezeki itu datang dengan pelbagai cara – bukan semata-mata kerana markah atau kertas laporan.

Mungkin mereka pernah memuliakan ibu bapa mereka.
Mungkin mereka banyak bersedekah dalam diam.
Mungkin mereka ikhlas membantu orang tanpa mengharap balasan.
Mungkin mereka buat baik kepada haiwan, lalu haiwan itu mendoakan kebaikan.
Mungkin doa orang tersayang – isteri, suami, anak-anak – diangkat oleh Allah.
Dan mungkin... APC itu adalah salah satu cara Allah membalas kebaikan mereka.


📝 Kisah Satu Doa

Che Kak teringat satu kisah beberapa tahun lepas. Seorang rakan pejabat terpaksa batalkan cuti kerana arahan ketua atas urusan jabatan.

Isterinya yang kecewa menulis di Facebook:

"Semoga dapat anugerah cemerlang..."

Waktu tu bunyinya macam ‘sindir’, tapi siapa sangka – Allah makbulkan doa isterinya. Beberapa bulan selepas itu, suaminya benar-benar dapat APC.


Comments