Garang Bukan Sebab Benci, Tapi Sebab Peduli

Orang kata Che Kak garang. Tegas. Bekeng. Atau apa-apa lah perkataan yang sewaktu dengannya.

Entahlah. Che Kak bukan pandai sangat nak susun ayat manis bergula. Tapi garang yang orang nampak tu bukan sebab Che Kak suka-suka nak marah. Che Kak bukan gila nak garang tak bersebab.

Che Kak bukan gila kerja walaupun kadang-kadang kerja tu memang “gila”.

Teguran Itu Tanda Mahu Belajar Sama-sama

Che Kak ikhlas bila memberi teguran. Bukan nak tunjuk pandai. Tapi sebab nak sama-sama belajar dan jadi lebih baik.

Masa kerja di pejabat lama, Che Kak dipertanggungjawabkan urus aduan pelanggan. Laporan yang staf tulis semua akan disemak dulu oleh Che Kak sebelum naik ke Tuan Pengarah. Kadang-kadang satu laporan Che Kak semak sampai 10 kali. Selagi tak puas hati, selagi itu kena betulkan.

Agak-agak, ada orang suka ke laporan asyik kena reject?



Kenapa Cerewet Sangat?

Pernah satu ketika, ada staf terus hantar laporan ke pengarah tanpa melalui semakan Che Kak. Mungkin dia dah fed up Che Kak asyik tegur ejaan, ayat, struktur, bahasa, semuanya ditegur.

Dan tahu tak apa jadi?

Che Kak kena "sembur" oleh Pengarah sendiri. First time dapat call dari Tuan Pengarah. Bila staf cakap, "Pengarah nak cakap", berdebar tahap Gaban.

Ayat pertama dari Tuan Pengarah?

"Laporan ni laporan sampah! Saya nak buang dalam tong sampah! Macam ni nak bagi Menteri baca?"

Allahu... luluh rasa hati. Malu sampai tak tahu nak sorok kat mana muka, walaupun dia tak nampak pun muka kita.

Tapi Che Kak tak marah pada staf. Che Kak pun tak cuba nak backup diri. Salah tetap salah. Diam aje.

Pengarah sempat tambah:

 "Saya tahu bukan awak yang tulis laporan ni. Tapi awak pengurus aduan. Kena bertanggungjawab. Pastikan staf tulis laporan yang berkualiti."


Masa tu, Che Kak sedar: cerewet Che Kak bukan nak tunjuk bagus, tapi sebab Che Kak nak jaga maruah jabatan. Laporan tu mewakili kita semua.

Belajar Sampai Bila-Bila

Sekarang pun Che Kak masih tulis laporan. Bezanya, Che Kak pun kena semak dengan boss. Dan Che Kak sangat berterima kasih bila boss betulkan atau tegur kesalahan.

Walaupun dah 17 tahun kerja JKM, Che Kak masih belajar. Kadang-kadang, ilmu yang paling berguna tak ada dalam buku. Ia datang dari pengalaman dan dari orang yang tak jemu tegur.

Che Kak tak pernah benci orang yang beri ilmu. Walaupun kadang-kadang tegurannya menjengkelkan, atau nadanya pedas, Che Kak belajar untuk tapis ego dan simpan ilmu.


📎 #sukabacalaporanoranglamadalamfaillama
📎 #garangkeranapeduli


Comments