Tawakal Tak Bermakna Tinggalkan Tanggungjawab

Throwback kisah lama. Antara kes yang pernah che kak handle sendiri — dan sampai sekarang masih segar dalam ingatan. Bukan sebab kes tu luar biasa, tapi sebab sakitnya rasa hati tengok betapa tertekannya seorang wanita bergelar isteri.

Seorang isteri datang memohon bantuan segera. Katanya, tiada satu sen pun di tangan. Nak beli beras, minyak, telur, hatta sekampit tepung pun tak mampu. Rumah dah kosong dari makanan. Anak-anak kecil pun hanya mampu telan air liur tengok jiran makan.

Bila ditanya, “Suami ke mana?”

Jawabnya, “Suami keluar berdakwah.”

Dan bila ditanya, “Tinggal duit tak?”

Katanya, suami jawab, "Tawakkal saja pada Allah. Allah akan beri rezeki nanti."

Ya lah kannn... Ulat dalam batu pun boleh hidup. Tapi isteri dan anak-anak tu bukan ulat. Mereka perlukan susu, nasi, dan tempat berteduh. Allah suruh bertawakkal selepas usaha. Tapi ni jenis serah bulat-bulat, lepas tangan.

gambar ehsan google
gambar ihsan google


Che kak rasa nak bagi kaki je. Flying kick ala-ala John Rambo melawan musuhnya. Lepas tu lepaskan tembakan mesin gun bertalu-talu sampai habis peluru.  Diselang seli dengan tendangan padu maut Jet Li. (hanya khayalan semata-mata). 

gambar ihsan google


Sebab apa? Sebab konsep yang dibawa si suami ni salah dan menyesatkan.

Nak keluar berdakwah? Silakan. Tapi tinggalkan cukup nafkah. Bukan tinggal ayat manis dan janji palsu. Paling tidak, tinggal la beras dan kicap. Biar anak-anak boleh jamah nasi walau tanpa lauk. Sepapan telur pun dah cukup.

Nak isteri duduk rumah dan tak bekerja? Okay. Tapi jangan lupa, tanggungjawab sepenuhnya jatuh atas bahu suami. Jangan guna dalil semata-mata untuk menghalalkan kemalasan.

Lelaki atau Biawak?

Kadang-kadang che kak menyampah bila jumpa lelaki yang pegang gelaran suami dan ketua keluarga, tapi hidup atas penat lelah isteri. Tak kerja, tak beri nafkah, tapi sanggup habiskan duit isteri beli pil kuda.

Ya Allah, kalau nak bazirkan duit sangat, baik beli anak patung Little Pony untuk anak. Ada juga manfaat dan senyum anak sebagai balasan.

Lagi menyakitkan hati, mulut bukan main manis bicara agama. Berdegar-degar hujah, kalah ustaz selebriti. Tapi anak isteri makan pun harap belas ihsan. Bila isteri nak keluar cari kerja, tak bagi. Bila isteri nak lari, ditarik balik dengan ayat-ayat suci.

Isteri pula, bila ditanya kenapa masih bertahan?

Jawabnya perlahan, "Saya dah tawar hati, tapi saya masih kasihan. Tak sampai hati nak tinggalkan suami."

Che kak hanya mampu mengeluh. Dukung biawak hidup, memang berat — tapi kalau terus didukung, biar pun dah tawar hati, luka tu makin dalam.

Realiti KRT 

Bila che kak scroll KRT pagi-pagi, kadang rasa nak tarik selimut balik. Cerita macam ni makin banyak. Sakit hati dibuatnya.

Tawakkal tu indah — tapi bila disalahguna, ia jadi alasan untuk lari dari tanggungjawab.


#kisahbenar
#suamitakguna
#nafkahituamanah
#dukungsampaitulangrapuh
#partitupperwarejugayangbest

Comments