Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Saya menulis sebagai seorang warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berpegang teguh kepada prinsip kerja dan amanah yang dipegang saban hari.
Tulisan ini bukan mewakili jabatan secara rasmi, tetapi lahir daripada keikhlasan dan tanggungjawab peribadi terhadap maruah kerja kami.
Datuk Seri,
Kami amat tersentuh dan terkilan dengan kenyataan Datuk Seri yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengagihan bantuan makanan dan kononnya bekalan itu diambil untuk kegunaan sendiri.
Ini adalah satu pertuduhan yang amat berat. Sebagai figura yang dihormati dan membawa gelaran "Datuk Seri", kenyataan Datuk Seri membawa pengaruh besar kepada pandangan masyarakat terhadap JKM.
Kami ingin bertanya secara ikhlas dan terbuka:
- Apakah bukti yang Datuk Seri miliki bagi menyokong dakwaan tersebut?
- Siapakah individu atau kes yang dirujuk? Mohon perincian agar siasatan boleh dibuat.
- Apakah sumber maklumat atau siasatan lapangan yang digunakan sebelum membuat kenyataan sedemikian?
- Adakah Datuk Seri benar-benar turun padang bersama petugas kami dan melihat sendiri keadaan sebenar?
Kami tidak menafikan bahawa setiap organisasi pasti ada kelemahan, dan kami sentiasa terbuka untuk menerima teguran membina.
Tetapi membuat tuduhan secara pukul rata adalah tidak adil dan memberi imej buruk terhadap ribuan kakitangan yang bekerja dengan jujur dan penuh dedikasi.
Motto kami, "Berkat Berjasa", bukan sekadar slogan. Ia menjadi nadi dalam setiap langkah kami membantu golongan sasar meskipun sering berdepan dengan kekangan logistik, tekanan masyarakat, dan kini pula, tohmahan tanpa bukti.
Datuk Seri,
Kami hanya memohon keadilan dan ketelusan sebagaimana Datuk Seri menuntut daripada kami. Jika benar ada unsur penyelewengan, kami juga ingin tahu agar tindakan boleh diambil. Tetapi biarlah ia berdasarkan fakta dan bukan persepsi.
Kami akan terus berkhidmat, walau hati kami sedikit luka. Semoga Allah memelihara niat baik semua pihak dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.
Yang benar,
Seorang warga kerja JKM,
Dengan penuh tanggungjawab peribadi.
Comments
Post a Comment