Diari Demam: Dari Panadol ke Gelang Pink

Kadang-kadang ujian kesihatan datang tanpa salam, tanpa tanda.


14 Ogos 2021 

— bermula dengan rasa sejuk luar biasa masa nak ambil wuduk. Bukan sejuk biasa, tapi sampai menggigil, rasa macam air batu menyentuh kulit.


“Haihh… demam ke aku ni?” bisik hati kecil.


Beberapa hari sebelum tu sempat terlintas, “Lama dah tak demam.”

Rupanya ‘demam’ tu rindukan Che Kak. Hadirnya tak sekadar panas badan, tapi sekali dengan debar dan gelisah yang tak boleh digambarkan. Panadol dan bee propolis jadi teman setia. Tapi rupanya, ada lagi babak yang menanti — gelang pink, swab test, dan 3 hari penuh penantian.


🗓 14 Ogos 2021

Waktu Maghrib. Air wuduk yang terasa macam ais mencetus rasa tak sedap hati. Badan rasa panas.

Cek suhu, alamak, naik! Panadol segera ditelan. Bee propolis kunyah perlahan-lahan.

Mula rasa pelik, “Demam ke aku ni?”


Satu badan rasa seram sejuk. Dalam hati, risau juga… zaman tu bukan boleh buat main demam-demam ni.


🗓 15 Ogos 2021

Bangun pagi, rasa macam dah okay sikit. Jiwa bergelut nak pergi kerja. Tapi hati tak tenang.


“Kalau aku pergi kerja, pastu betul-betul demam dan jangkit orang lain, macam mana?”


Rasa serba salah. Tapi kerja pun penting. Ada bayaran bantuan yang belum selesai.

Akhirnya terpaksa minta tolong kawan settlekan semuanya.


Ambil keputusan pergi klinik untuk buat pemeriksaan.

Suhu turun ke 36.6°C. Lega… tapi tak lama.

Doktor tetap minta buat swab test dan... terus dipakaikan gelang pink. Masa tu perasaan bercampur-baur – takut, risau, sedih, semua ada.


Demam datang dan pergi. Kepala rasa berat sangat, macam junjung periuk tembaga zaman dulu. Muntah pun angin je keluar. Tapi tak sakit. Cuma penat dan lemau.


Panadol, bee propolis, vitamin C – semua telan. Nak lawan balik ‘rindu’ yang datang dalam bentuk demam ni.


🗓 16 Ogos 2021

Demam hilang, tapi selesema mula menyerang.

Hidung rasa sempit, lemas nak bernafas. Badan berangin. Sendawa tak henti.


Che Kak cuba macam-macam:

🍯 Madu & pati delima manggis

🐝 Bee propolis

🧊 Wap muka dengan bunga cengkih

🌿 Aloe vera gel & massage lotion


Sapu, minum, telan… semua ikhtiar untuk lega. Alhamdulillah, ada perubahan. Tapi malam tu tetap tak boleh tidur. Hidung lega, tapi perut lapar. Malas pula nak bangun ke dapur. Hati pula makin berdebar… sebab esok kena tunggu keputusan swab test.


Tiga hari yang rasa macam sebulan. Tak sakit teruk, tapi mental diuji.

Debar itu paling sukar dilupakan. Masa tu baru betul-betul faham nikmat sihat dan lapangnya dada bila bebas rasa risau.


Apa pun, syukur semuanya berlalu dengan selamat.

Yang tinggal hanya kenangan dan catatan ini sebagai ingatan.


Jaga diri, jaga kesihatan. Rindu boleh datang dalam macam-macam rupa. Kali ni, dia datang dalam bentuk demam. 😅










Comments