Bila Jiwa Terluka, Bunuh Diri Bukan Jalan Keluar

Bunuh Diri Bukan Jalan Keluar – Mereka Perlu Dipulihkan, Bukan Dihukum

Beberapa bulan lepas, Che Kak ada tengok satu cerita kat Astro. Kisah remaja yang mati bunuh diri dan jadi hantu sebab nak balas dendam. Walaupun hanya cerita, tapi kesannya... berderet soalan dari Awaatif.

“Kenapa dia bunuh diri?”
“Bunuh diri dosa ke?”
“Boleh ke jadi hantu kalau bunuh diri?”
“Kawan dia tak tolong ke?”
“Kalau nak bunuh diri kena terjun bangunan ke?”

Jenuh Che Kak nak perah otak jawab. Tapi Che Kak tetap cuba jawab sejujur mungkin, ikut kemampuan dan ilmu. Tak mahu bagi jawapan yang sekadar lepas tangan.

Cerita Dalam Filem, Tapi Realiti Memang Berlaku

Dalam cerita tu, budak asrama dibuli dan didera mental serta fizikal. Kawan baik pun takut nak tolong. Lagi sedih, keluarga dia pun jenis “broken”. Tak ada tempat bergantung. Maka jalan terakhir bunuh diri.

Jadi hantu? Itu skrip filem. Tapi realitinya, ramai yang terjun bangunan, gantung diri, telan racun semua sebab tekanan yang tak tertanggung. Bukan sebab iman tak kuat, tapi sebab emosi mereka dah lumpuh.

Cubaan Bunuh Diri: Dah Mansuh Ke Belum Seksyen 309?

Setahu Che Kak, cubaan bunuh diri ni masih dikira jenayah di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Tapi tak pasti sekarang dah dimansuhkan ke belum.

Sejujurnya Che Kak tak setuju cubaan bunuh diri dianggap jenayah.
Bayangkan orang yang dah sampai tahap nak ambil nyawa sendiri...
Adakah kita nak tambah lagi beban dengan gari, bicara mahkamah, penjara?

Orang Baik Pun Boleh Terduduk Bila Diuji Mental

Che Kak teringat seorang kenalan.
Orangnya warak, jaga aurat, tak tinggal solat kecuali bila uzur. Tapi suatu hari, dia telan ubat overdose.

Kenapa? Sebab tertekan.
Didera secara mental oleh mentuanya. Tapi dia tak mampu cerita pada sesiapa. Sebab mentuanya pun warak, baik perwatakannya.
Siapa nak percaya dia?

Nasib baik suami dia memahami dan bantu dia pulih perlahan-lahan.
Hari ini, Che Kak tengok dia bahagia.
Tapi bertahun-tahun dia ambil masa nak bangkit semula. Bukan senang, bukan sekejap. Tapi boleh kalau diberi peluang, sokongan dan ruang.


Kesimpulan Che Kak:

Orang yang cuba bunuh diri bukan penjenayah.
Mereka perlukan:

  • Rawatan
  • Pemulihan jiwa
  • Sokongan emosi
  • Dan yang paling penting... jangan cepat menghukum.

Jangan label mereka tak beriman.
Kadang orang yang nampak kuat agama pun, kalau diuji bertalu-talu, dia boleh rebah juga.
Kita tak tahu beban di bahu orang. Tapi kita boleh jadi bahu untuk orang bersandar, kan?

Jangan tambah luka pada hati yang dah luka.
Rawat, bukan hukum.
Dengar, bukan dakwa.

Wallahu a'lam. ❤️

Comments