Alhamdulillah, hari Ahad yang lalu che kak selamat menghantar satu kes ke RE di Dungun. Jiwa dan mental memang koyak sikit, sebab uruskan kes sebegini bukan mudah. Tapi syukur yang tak terhingga, kawan-kawan banyak membantu, memudahkan urusan dan menguatkan semangat.
Setiap pengalaman pasti ada hikmahnya. Walaupun penat, che kak dapat pengalaman baru yang akan jadi kenangan indah satu hari nanti.
Sebaik selesai urusan, che kak terus ke Kuantan pula untuk menghadiri bengkel keesokan harinya. Mula-mula agak ‘blur’, tak tahu nak bincang apa. Tapi lepas dengar taklimat, barulah nampak hala tuju. Tak kisahlah bengkel tu nombor dua pun—ikut je lah apa yang nak ditambahbaik dalam sistem.
Yang paling seronok, dapat jumpa kawan-kawan lama, walaupun tak ramai. Bahagia betul bila kawan dari JKMWPKL masih kenal che kak walaupun rupa fizikal dah tak macam dulu—dari berat 44kg ke… err, sekarang berat mata memandang 🤪.
Di hotel, che kak berkongsi bilik dengan bekas anak buah semasa sama-sama di pejabat dulu. Baik orangnya, rasa malu pula bila teringat betapa ‘garang’ nya che kak dulu. Tapi biasalah, masa berubah, kita pun berubah. Sekarang ni, dah malas nak cari gaduh—umur pun bukan muda lagi. Dunia ni kecil je, dan dalam jabatan yang sama, kita tetap saling memerlukan.
Sempat juga makan petang yang merangkap dinner kat kafe Hotel Seri Malaysia. Rasa macam geng kayangan tengah bincang projek juta-juta 🤣. Tapi harga okey je, masih mampu milik. Bukan selalu pun dapat merasa makan hotel.
Sayangnya tak sempat jalan-jalan sekitar Kuantan. Kononnya nak layan Gegar Vaganza, tapi tak menarik sangat. Tutup TV, terus tidur. Lepas habis kursus, terus balik ke Kelantan.
Kuantan sebenarnya menyimpan banyak memori untuk che kak. Che kak pernah tinggal di sana dari darjah satu hingga ke kelas peralihan Sekolah Menengah Agama Arab, dari tahun 1986 hingga 1992. Tujuh tahun menyulam suka duka zaman kanak-kanak.
Che kak juga berulang alik ke Hospital Kuantan sebab sakit jantung. Alhamdulillah, selepas pembedahan tahun 1990 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, sekarang sihat walafiat.
Zaman sekolah dulu, cikgu tak benarkan che kak main sukan sebab takut pengsan. Tapi hakikatnya, setiap petang kalau nak ke kelas mengaji, che kak selalu berlumba lari… tak pernah pun pengsan!
Teringat juga kisah masa darjah satu, che kak terdengar bunyi anak kucing masa balik sekolah. Cari punya cari, rupa-rupanya tersorok di celah pokok buluh. Che kak bawa balik bela, dan itulah kali pertama dan terakhir bela kucing. Masa nak pindah rumah, dia tak nak ikut. Tak tahu apa jadi padanya sampai sekarang.
Dan masa darjah dua, moyang lelaki che kak meninggal dunia di Kuantan. Rindu sangat pada arwah. Sedihnya, che kak tak sempat simpan gambar kenangan bersama nenek moyang tersayang 😔.
Sebenarnya, banyak lagi cerita suka duka che kak sebagai anak Kuantan. Insya Allah, kalau ada rezeki dan masa, che kak akan sambung lagi coretan ni.
Comments
Post a Comment